Aplikasi MySejahtera masih dikemas kini dengan sejumlah ciri menarik baharu. Bagaimanapun, pembangun aplikasi MySJ sehingga kini masih dipenuhi dengan kontroversi kerana dilihat tidak telus dalam pemilihan syarikat tersebut selaku pembangun.
Terbaharu, laporan lengkap berkaitan KPISoft (Entomo) selaku pembangun aplikasi MySejahtera telah diterbitkan hari ini. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati kerajaan tidak menggunakan prosedur perolehan yang sepatutnya.
Baca Juga:
- Mahu ‘Settle’ Tepi, Jho Low Pernah Tawar RM1.5 Bilion Kepada Kerajaan Malaysia
- Taufik Dedah Cubaan Rasuah RM117,000 Oleh Pegawai Malaysia Untuk Tewas Bertemu Chong Wei
Malah, kerajaan turut didapati tidak jelas dengan hala tuju MySejahtera dan keliru dengan pelantikan KPISoft, konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan tempohnya serta pemilikan aplikasi.
Penawaran membangunkan MySejahtera sebagai CSR di peringkat asal telah digunakan oleh KPISoft untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa menerusi prosedur yang sepatutnya.
Antara yang menjadi tumpuan utama di dalam laporan tersebut adalah harga siling RM196 juta untuk perolehan MySejahtera selama dua tahun dilihat sangat tinggi yang mana bercanggah dengan pelan asal yang menyatakan pembangunan ini di bawah inisiatif CSR.
Lebih mengejutkan sehingga April 2022, kerajaan dikesan masih belum mendaftarkan harga intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO di mana masih menjadi hak milik KPISoft. PAC menyarankan supaya kerajaan menyemak semula pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus.
Sementara MAMPU sebagai Jabatan Teknikal ICT dilihat berupaya mengambil alih pembangunan dan pengoperasian aplikasi MySejahtera itu. Kerajaan mesti memiliki aplikasi MySejahtera sepenuhnya dan memastikan data pengguna tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya.