Pernah tak anda nampak iklan di media sosial yang menawarkan kerja kosong atau tugasan mudah dengan bayaran lumayan?
Hanya perlu buka akaun bank secara dalam talian dan anda terus dibayar ratusan ringgit.
Bunyinya memang sangat menggiurkan, lebih-lebih lagi pada zaman ekonomi yang mencabar ini di mana ramai yang mahu mencari pendapatan sampingan.
Namun, awas. Di sebalik tawaran manis ini, ramai anak muda kita yang telah menjadi mangsa dan akhirnya ditangkap polis.
BAGAIMANA TAKTIK TUGASAN BANK INI BERFUNGSI?
Berdasarkan pendedahan beberapa mangsa di aplikasi Threads, modus operandi sindiket ini sebenarnya sangat licik.
Scammer akan mengiklankan tawaran kerja yang kononnya bertujuan untuk menaikkan penarafan atau ‘rating’ aplikasi bank, atau memberikan alasan bank tersebut digunakan untuk tujuan urusan perdagangan pasaran.
Mereka akan meminta mangsa untuk membuka akaun bank baharu secara dalam talian seperti bank Alliance atau Aeon. Selepas akaun berjaya dibuka, mangsa diminta menyerahkan segala butiran log masuk kepada scammer tersebut.

Sebaik sahaja butiran diserahkan, mangsa akan menerima bayaran yang dijanjikan dan menyangka tugasan mereka sudah selesai. Hakikatnya, mimpi ngeri baru sahaja bermula apabila akaun tersebut digunakan oleh scammer untuk menipu wang orang awam, sekaligus menjadikan pemilik asal sebagai keldai akaun.
DISERBU POLIS KETIKA SEDANG TIDUR
Pengalaman yang dikongsikan oleh para mangsa amat menakutkan dan wajar dijadikan pengajaran.
Seorang mangsa berkongsi pengalaman pahitnya apabila rumahnya diserbu pihak polis sewaktu dia sedang tidur.
Dia terpaksa meringkuk di dalam lokap selama dua malam demi membantu siasatan.
Pengalaman ini turut dirasai oleh seorang lagi mangsa wanita yang terpaksa bermalam di lokap, suatu trauma yang disifatkannya persis menjadi seorang penjenayah berat.
“Jangan buat task bank bodoh ni lagi. Inilah sebab kenapa aku kena kutip dengan polis. Scammer kata guna bank ni untuk buat trade, rupanya buat keldai akaun.”.
Itu adalah luahan rasa kesal seorang mangsa yang pada awalnya terpedaya dengan upah RM200 yang ditawarkan. Hanya kerana wang yang tidak seberapa, nama baik terus tercemar.
TERPAKSA MENGAKU SALAH KERANA KEKANGAN WANG
Apa yang lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mangsa yang terpaksa mengaku bersalah di mahkamah walaupun mereka sebenarnya ditipu hidup-hidup oleh sindiket.
Seorang mangsa mendedahkan bahawa dia terpaksa membuat pengakuan bersalah dan membayar denda.
Apabila ditanya mengapa dia berbuat demikian, mangsa menjelaskan bahawa jika dia mahu melawan kes tersebut di mahkamah, dia perlu melantik peguam yang menelan belanja beribu-ribu ringgit.
Situasi yang tersepit ini memaksa ramai mangsa untuk menanggung rekod jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) atau akta kesalahan kecil yang lain.
BAHAYA GAMBAR KAD PENGENALAN DAN SWAFOTO
Selain dijadikan keldai akaun, ada juga taktik di mana scammer meminta gambar kad pengenalan depan dan belakang berserta swafoto mangsa atas alasan pendaftaran.
Dengan maklumat peribadi selengkap ini, scammer dengan mudahnya boleh menyalahgunakan identiti mangsa untuk membuat pinjaman daripada aplikasi Ah Long.
Akhirnya, mangsa bukan sahaja diburu polis atas kes penipuan kewangan, malah turut diugut dan diganggu oleh ceti haram.
Kesannya sangat berpanjangan, malah terdapat juga kes di mana mangsa terus disenarai hitam dan tidak boleh lagi membuka sebarang akaun bank baharu pada masa hadapan.
APA YANG PERLU ANDA BUAT JIKA TERLANJUR TERLIBAT?
Jika anda membaca artikel ini dan menyedari bahawa anda baru sahaja memberikan akses akaun kepada pihak ketiga, jangan panik tetapi bertindaklah dengan pantas. Seorang pengguna berkongsi langkah proaktif yang berjaya menyelamatkannya.
“Aku pun terkena juga, tapi nasib aku cepat bertindak. Aku terus pergi bank untuk sekat akaun yang dijadikan akaun keldai tu. Lepas tu terus pergi balai buat laporan polis dan cerita semua.”.
Tindakan pantas pergi ke cawangan bank untuk menyekat akaun tersebut dan membuat laporan polis adalah langkah perlindungan yang sangat penting.
Pihak polis sendiri menasihatkan agar orang ramai membuat laporan lebih awal kerana taktik scammer kini pelbagai dan sentiasa berubah.
Sentiasa beringat, tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang dalam sekelip mata. Tolak tepi segala tawaran yang meminta butiran peribadi, gambar kad pengenalan, mahupun akses kepada akaun bank anda.
Biar penat bekerja membanting tulang, asalkan hidup tenang dan tidak merana di sebalik tirai besi.