Baru-baru ini Jepun telah mengesahkan tempat di kejohanan Piala Dunia Russia 2018 dan ini merupakan penampilan kali ke 6 berturut-turut mereka selepas berjaya layak buat pertama kalinya pada edisi 1998 di Perancis.
Kejayaan mereka ini tidak datang dengan mudah tanpa kerjasama dan penglibatan dari semua pihak dari ibu bapa sehingga ke peringkat persatuan bola sepak mereka sendiri.
Namun, dari pengalaman kami sendiri melihat secara dekat penglibatan kanak-kanak dari peringkat awal di sekolah-sekolah, ada 1 aspek yang tidak ramai tahu bagaimana ia memberikan impak kepada kemahiran pemain-pemain Jepun itu sendiri secara tidak langsung – Bermain Bola Sepak Diatas Padang Berpasir!
5 Perkara Lahir Dari Bermain Bola Sepak Diatas Padang Berpasir
1) Tempo Permainan
Oleh kerana padang berpasir ini mempunyai permukaan yang keras, lantunan bola adalah lebih tinggi dan bola bergerak dengan lebih laju berbanding padang berumput.
Kesan dari perkara ini akan menyebabkan tempo permainan menjadi lebih tinggi dan perlawanan berlangsung dengan intensiti yang tinggi.
Ini akan melatih kanak-kanak Jepun beraksi dengan tempo permainan tinggi sejak dari kecil lagi seterusnya menghasilkan pemain-pemain yang tegar dengan corak permainan seperti ini.
2) Menguasai Kemahiran Asas
Permukaan keras dan tidak rata adalah perkara biasa bagi padang berpasir di Jepun.
Lantunan bola yang tidak menentu serta kelajuan lebih tinggi dari biasa akan menyukarkan mereka yang tidak biasa beraksi dalam keadaan seperti ini.
Hakikatnya, inilah perkara yang berjaya melahirkan pemain pemain yang mempunyai kemahiran asas teknikal yang tinggi kerana mereka perlu mengawal bola dalam situasi tersebut.
Bertahun-tahun mereka beraksi dalam padang seperti ini akan meningkatkan kemahiran asas mengawal bola dan tidak hairanlah mengapa pemain Jepun mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi!
3) Tiada Terjahan Keras
Kanak-kanak Jepun tidak ‘diajar’ untuk melakukan terjahan ketika kecil. Mereka lebih fokus untuk menguasai kemahiran asas bola sepak sahaja.
Dengan majoriti sekolah rendah di Jepun hanya memiliki padang keras dan berpasir, sebarang terjahan keatas lawan akan hanya mencederakan diri sendiri seterusnya mengundang kepada penurunan prestasi dan tidak terpilih untuk pasukan.
Ini yang telah ditanam kepada semua guru yang bertanggungjawab untuk memerhatikan perkembangan mereka diperingkat sekolah.
4) Stamina & ‘Endurance’
Bola bergerak laju, lantunan bola yang tidak dapat dijangka, rakan sepasukan sentiasa bergerak pantas.
Gabungan dari semua perkara yang wujud dari bermain bola sepak diatas padang keras dan berpasir ini akan menyebabkan stamina pemain lebih tinggi.
Ini kerana mereka perlu sentiasa barlari mengejar bola, membuka ruang serta mempertahankan kubu sendiri.
Untuk kekal berada pada tahap kecergasan seperti ini sepanjang perlawanan, secara tidak langsung akan meningkatkan tahap ‘endurance’ mereka cukup tinggi. Disini lah permulaan bagaimana kita melihat Jepun berjaya mengurangkan ‘gap’ diantara mereka dan Eropah walaupun dari segi fizikal mereka sebenarnya lebih kecil.
5) Psikologi & Mentaliti
Kesan terhadap psikologi juga menjadi salah satu impak besar kepada perkembangan bola sepak Jepun.
Setiap kali selepas tamat sesebuah perlawanan, para pemain akan ‘meratakan’ kembali padang yang berpasir supaya kelihatan bersedia untuk digunakan oleh orang pula. Mereka akan bersama-sama menarik alat meratakan padang yang sudah disediakan.
Ini adalah satu kebiasaan bagi mereka dan melalui aktiviti ini telah berjaya menanamkan satu sifat dalam diri mereka untuk menyediakan padang yang berada dalam keadaan terbaik supaya dapat digunakan oleh pasukan lain dalam keadaan sempurna.
Faktor Cuaca & Kos Penyelenggaraan Adalah Punca
Walaupun padang berumput samada semulajadi atau sintetik semakin bertambah bilangannya, tetapi kos pengurusan dan penyelenggaraan kedua-dua padang jenis ini adalah tinggi untuk memastikannya berada ditahap sempurna.
Padang rumput semulajadi memerlukan penyelenggaraan yang tinggi kerana Jepun merupakan negara yang mempunyai 4 musim. Oleh itu, padang berumput semulajadi hanya akan digunakan untuk kejohanan peringkat tertinggi sahaja.
Ia merupakan satu ‘privilege’ kepada mana-mana pemain untuk beraksi diatas padang rumput semulajadi!
Disebabkan faktor-faktor ini, pastinya padang keras dan berpasir menjadi pilihan untuk mengasah bakat mereka untuk berjaya sebagai pemain bola sepak yang berkualiti.