Baru-baru ini, sebongkah kayu gaharu dari Malaysia menjadi tumpuan apabila dinilai berharga setinggi USD70,000 (lebih RM310,000) sehingga mengejutkan ramai orang yang tidak menyangka nilai sebenar produk tempatan di pasaran global.
Kayu oud atau gaharu yang menjadi perbualan ini sebenarnya berasal daripada pokok Aquilaria, spesies pokok yang hanya menghasilkan wangian istimewa apabila dijangkiti sejenis kulat tertentu.
Menurut perkongsian di TikTok, proses semula jadi ini boleh mengambil masa antara 20 hingga 50 tahun, menjadikan gaharu asli sebagai sumber alam yang amat sukar diperoleh dan sangat berharga.
Dari Kayu Ke Pewangi
Menurut Scentisphere, sebongkah gaharu berkualiti tinggi seberat 300 gram mampu menghasilkan cecair wangian pekat setelah melalui proses yang rumit.
Kayu berharga ini perlu direbus secara berterusan selama beberapa hari untuk mengeluarkan minyak patinya yang mempunyai aroma kompleks dan unik.
Nilai tinggi gaharu Malaysia bukanlah sesuatu yang baru dalam industri wangian global.
Sejak berabad lamanya, gaharu telah menjadi bahan utama dalam pembuatan wangian eksklusif, terutama di Timur Tengah dimana ia digelar “emas cecair”.
Wangian gaharu sering dikaitkan dengan golongan bangsawan dan elit kerana harganya yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit untuk sebotol kecil.
Proses mendapatkan gaharu berkualiti juga penuh cabaran.
Pemburu gaharu perlu masuk ke pedalaman hutan untuk mencari pokok Aquilaria yang telah dijangkiti kulat.
Kesukaran ini menambah lagi nilai komersial produk akhir.
Reaksi netizen tempatan terhadap harga gaharu yang mencecah ratusan ribu ringgit agak berbelah bahagi.
Ada yang terkejut dengan nilai komersialnya, sementara yang lain bangga dengan produk tempatan yang dihargai tinggi di peringkat global.
Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa Malaysia sebenarnya memiliki khazanah alam yang mampu bersaing di pasaran mewah dunia.