Sebuah hantaran video yang tular di platform media sosial baru-baru ini telah menarik perhatian netizen, memaparkan luahan hati seorang pak cik mengenai sikap segelintir masyarakat yang cenderung menilai dan menghukum individu lain berdasarkan status sosioekonomi dan keupayaan berbahasa.
Menerusi video berkenaan, pak cik tersebut berkongsi pengalaman apabila dirinya dilabel sebagai golongan B40 oleh pekerja kedai makanan dan dianggap ‘tidak layak’ untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana penguasaan bahasanya yang dikatakan sekadar biasa-biasa sahaja.
Adab dan Cara Melayani Sesama Insan Menjadi Ukuran
Mengulas mengenai stigma tersebut, beliau menegaskan bahawa nilai dan kekayaan sebenar seseorang individu tidak seharusnya diukur daripada aset fizikal atau harta benda yang dimiliki. Menurutnya, segala harta kekayaan di dunia ini merupakan pinjaman dan ujian daripada Tuhan untuk melihat bagaimana manusia memanfaatkannya.
“Kaya seseorang itu bukan datang daripada hartanya, tetapi kaya orang itu adalah bagaimana cara dia menerima dan melayani orang lain, bagaimana dia menghormati dan menghargai sesama manusia.”
Beliau turut menitipkan pesanan agar masyarakat menghentikan tabiat suka mencari keburukan orang lain, sebaliknya fokus untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri bagi membina sahsiah yang lebih baik.
View on Threads
Netizen Bongkar Pak Cik Berkaca Mata ‘Frameless’ Ini Tak Kosong
Bagaimanapun ramai netizen menyatakan bahawa pak cik tersebut semestinya bukanlah seorang B40 seperti yang dilabelkan oleh pekerja kedai makanan tersebut.
Ini kerana cara pak cik tersebut bercakap, pemakaian kaca mata jenis frameless dan jam tangan dipakainya itu, membuktikan beliau bukang calang-calang orangnya.
Menurut seorang pengguna Threads, beliau meluahkan rasa kecewa apabila melihat lelaki itu dilayan sedemikian. Pada masa sama beliau menjelaskan siapakan lelaki tersebut.
“Saya tidak tahu cerita yang sebenar. Tetapi perkara ini agak membuatkan saya marah. Ini ialah bekas majikan saya, Mejar Azali (Bersara). Seorang ketua yang sangat baik, penyayang dan prihatin terhadap kakitangan bawahannya, sangat komited dengan tugasnya, serta seorang yang pemurah dan sangat rendah diri.
“Beliau merupakan seorang pegawai tentera yang telah berkhidmat untuk negara selama lebih daripada 20 tahun. Jangan menilai buku daripada kulitnya (Jangan menilai seseorang daripada luarannya),” kata Threads @hans.mohamad.
Sementara seorang lagi pengguna Threads berkongsi pengalamannya bertugas bersama dengan Mejar Azali.
“”Mejar Mat (Bersara), pegawai kanan saya di Mes Sri Kenyalang, Kuching pada tahun 2017 hingga 2018, merupakan seorang yang sangat rendah diri. Beliau sering memberikan nasihat yang baik kepada kami, pegawai-pegawai muda pada ketika itu. Semasa Hari Raya tahun 2017, apabila kami tidak dapat pulang beraya, beliau telah memasak lauk raya di mes, ia amat mengharukan kami.
“Pada suatu ketika, kami teringin untuk makan ketam telur masin (salted egg crab), lalu kami pergi mencari ketam di pasar dan beliau telah mengajar kami cara memasaknya di dapur mes. Semoga Allah membalas segala kebaikan tuan,” kongsi Threads @jannah.abdul.
Penjelasan itu menjawab persoalan netizen yang kagum dengan ketenangan pak cik tersebut.