Hari ini pengasas Air Asia, Tony Fernandes memperlihatkan aksesori terbaharu untuk pakaian seragam syarikat tersebut yang merupakan sehelai kain penutup untuk ibu menyusu.

Menurut Tony, Air Asia bercadang memperkenalkan kain penutup itu selepas ramai juruterbang dan kru yang kembali bekerja semula sudah bergelar seorang ibu.

Baca Juga:

“Sekarang kami mengambil semula semua juruterbang dan kru kami, ramai yang sudah menjadi seorang ibu. Mereka memberitahu saya mereka memerlukan privasi untuk mengepam susu semasa bertugas.

“Tidak pernah dilakukan sebelum ini tetapi pakaian seragam kami kini termasuk kain penutup untuk ibu menyusu. Walaupun satu langkah kecil, namun satu cara yang terbaik untuk mengalu-alukan mereka kembali bertugas semula,” kongsi Tony di Instagram peribadinya.

Pakaian Seragam Air Asia Kini Hadir Dengan Kain Penutup Ibu Menyusu
Sumber Gambar: IG @tonyfernandes

Kain penutup itu berwarna merah, dihiasi dengan logo rasmi Air Asia dan bayi berbalut dalam bentuk hati (love).

Menjengah ruangan komen hantaran Instagram itu, ramai memberi pujian dan sokongan atas inisiatif tersebut.

Pada sama ramai juga berminat mendapatkan kain penutup ibu menyusu itu — walaupun bukan kru Air Asia — untuk kegunaan peribadi.

Dalam pada itu, ada juga netizen mencadangkan Tony untuk membuat satu ruangan untuk ibu menyusu di dalam setiap kapal terbang yang boleh digunakan oleh kru atau penumpang.

Sekaligus ia memberikan lebih keselesaan dan privasi buat ibu-ibu menyusu yang menaiki Air Asia.