Pada tahun lalu sebuah syarikat Malaysia berjaya mencipta satelit terkecil di dunia yang dikenali sebagai GerhanaSAT. Satelit buatan Independence-X Aerospace itu merupakan satelit kelas femtosat (satelit bersaiz kecil) yang menyediakan pautan komunikasi kepada dron dan IoT (Internet of Thing) di sekitar khatulistiwa untuk dilancarkan ke angkasa lepas sebagai buruj di Orbit Rendah Bumi (Low Earth Orbit).
Baru-baru ini Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Independence-X Aerospace, Izmir Yamin mengumumkan satelit kelas femtosat itu, GerhanaSAT telah disahkan oleh pakar industri angkasa lepas yang terkenal sebagai satelit terkecil di dunia.
Baca Juga:
- NASA Selamatkan Bumi Dalam ‘Misi Bunuh Diri’, Lancar Ujian Serangan Ke Atas Asteroid
- Sampah Angkasa Lepas ‘Buatan’ China Dikesan Di Ruang Udara Sarawak
- Imej Satelit Dedah Kemusnahan 1,200 Rumah Penduduk Rohingya Oleh Tentera Myanmar
Saiznya lebih kecil berbanding dengan satelit yang mempunyai fungsi yang serupa iaitu PocketQube, bahkan jauh lebih kecil berbanding dengan CubeSat. Satelit itu mempunyai 2 versi, terdiri daripada Space Version (SV), berukuran 30mm, manakala Consumer Version (CV) berukuran 32mm.
Memetik kenyataan daripada Facebook Izmir, pihaknya telah melakukan demonstrasi bagaimana satelit tersebut berfungsi sepenuhnya di hadapan penonton secara langsung.
“Ini adalah satelit terkecil di dunia yang saya lihat setakat ini,” kata wakil dari Agensi Angkasa Perancis (CNES), Monsieur Dr. Patrick Castillan dan Monsieur Dr. Alan Gleyzes dari CNES (Penolong Pengarah CNES),
Tambah beliau, pihaknya telah menerima banyak tempahan sekurang-kurangnya 520 satelit untuk kedua-dua varian dari pelbagai negara, terutamanya dari Eropah dan Amerika Syarikat, serta sebahagian daripada Timur Tengah dan Afrika.
“Buat pertama kali di Malaysia, kami mengeksport produk Teknologi Angkasa Lepas (Space Tech) buatan tempatan. Kami juga akan sentiasa berusaha ke arah mencipta produk baharu dan termaju, dan kurang mengikuti trend semasa.
“Kami juga berhasrat untuk menjadi perintis dalam teknologi angkasa lepas seperti pembuatan satelit femto, Kenderaan Kapsul Kemasukan Semula dan juga Kenderaan Pelancar Sifar-Karbon pada masa akan datang,” petik kenyataan dari hantaran Facebook Izmir.
Pada masa sama satu memorandum perjanjian kontrak ruang komersial telah berjaya ditandatangani antara Independence X Aerospace dan syarikat SpaceBorn United B.V dari Belanda. Kontrak tersebut bernilai lebih USD1 juta.
Syarikat tempatan itu bakal membangun dan membekalkan Kenderaan Kemasukan Semula Angkasa (MERCAP, Kapsul Kemasukan Semula Eksperimen Mikrograviti) untuk penggunaan R&D Bio-Teknologi Angkasa Lepas berasaskan Eropah dan produksi di orbit angkasa. MERCAP dikuasakan sel bahan api hidrogen.
Semoga Izmir dan pasukan Independence-X Aerospace dapat terus mengharumkan nama negara dalam industri angkasa lepas pada masa akan datang.