Ahli ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai saran Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama.
Pada masa sama kerajaan perlu mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga solar dan hidro, petik MalaysiaKini.
Baca Juga:
- Krisis Minyak Global: Negara Mana Paling Bergantung Kepada Selat Hormuz?

- ‘Subsidi BUDI95 Kekal Walau Harga Global Meningkat, Bekalan Petroleum Boleh Bertahan Sampai Mei 2026’ – PMX

- Penutupan Selat Hormuz: ‘Harga Petrol BUDI95 Boleh Bertahan Hingga 2 Bulan Lagi’ – Anwar Ibrahim

Menurut beliau, peralihan itu dapat mengurangkan risiko menghadapi kenaikkan harga bekalan minyak global seperti Perang Iran-Amerika Syarikat (AS) yang berlaku ketika ini.
“Konflik yang berterusan di Timur Tengah telah menunjukkan dengan jelas bahawa kebergantungan Malaysia kepada bahan api fosil yang diimport meletakkan negara pada risiko ekonomi dan strategik yang tinggi,” katanya kepada Malaysiakini.
Percepatkan NETR
Isu ini boleh diatasi dengan mempercepatkan garis masa dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang sebelum ini menetapkan sasaran menjelang tahun 2050.
“Mempercepatkan NETR akan mengurangkan kerentanan negara terhadap kejutan harga minyak global, mengukuhkan daya tahan ekonomi, dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju tenaga bersih di peringkat serantau,” katanya.
Dalam masa sama, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui juga akan melindungi isi rumah dan industri daripada lonjakan harga tenaga pada masa hadapan.
“Dengan tahap gangguan tenaga global yang serius, seruan untuk memendekkan garis masa 2050, atau sekurang-kurangnya mempercepatkan pencapaian sasaran jangka pendek, kini lebih kukuh berbanding sebelum ini,” tambahnya lagi.