Sambutan Hari Kebangsaan Pakistan di hadapan Pejabat Suruhanjaya Tinggi negara itu di ibu kota Malaysia diserikan dengan kehadiran rakyat Pakistan yang menetap di sini serta rakan-rakan dari pelbagai lapisan masyarakat.
Acara tahunan ini bukan sahaja menjadi platform untuk merayakan kemerdekaan, tetapi juga mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah, mengetuai acara tersebut dan menyampaikan ucapan penuh makna.
Terima Kasih Kepada Malaysia
Dalam ucapannya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, Syed Ahsan menyampaikan penghargaan khas kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 200,000 rakyat mereka di pelbagai sektor.

Beliau menegaskan bahawa komuniti Pakistan di Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tempatan, malah berperanan sebagai jambatan penghubung antara kedua-dua negara.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memberikan peluang kepada hampir 200,000 rakyat Pakistan untuk bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini.
“Komuniti ini merupakan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia dan diharapkan mereka terus menjadi jambatan penghubung antara kedua-dua pihak,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa hubungan diplomatik antara dua negara akan terus berkembang, memandangkan kedua-dua negara mempunyai ikatan sejarah, budaya, dan nilai kebersamaan yang kukuh.
Solidariti untuk Kashmir
Selain merayakan kemerdekaan, Syed Ahsan turut menyentuh isu global, khususnya nasib rakyat Jammu dan Kashmir.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan perhatian serius terhadap perjuangan rakyat Kashmir yang masih berada di bawah penaklukan India.
Acara sambutan turut diserikan dengan upacara menaikkan bendera Pakistan sambil diiringi lagu kebangsaan yang dinyanyikan penuh bersemangat oleh hadirin.
Pesuruhjaya Tinggi juga membacakan mesej daripada Presiden , Asif Ali Zardari; Perdana Menteri, Muhammad Shehbaz Sharif; dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Senator Muhammad Ishaq Dar, yang menyeru rakyat Pakistan agar terus bekerja keras demi kemajuan negara.