Seorang pengarah syarikat warga Bangladesh didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu atas kesalahan mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), tiga tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohammed Jasim, 43, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Baca Juga:
- ‘Nak Jadi PATI, Tinggal Lebih Tempoh?’ – Ini Komen Biadap Netizen Malaysia Terhadap Kunjungan Pelancong Bangladesh

- ‘Saya Dah Balik Kampung’ – Trader Bangladesh Nafi Terbabit Dalam Kemalangan Supra

- ‘Malaysia Kerja Okay’ – Lelaki Bangladesh Kerja 10 Jam Sehari, Gaji RM5,000

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama setahun jika gagal membayar denda berkenaan, petik The Star.
Bapa kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja menggunakan surat tawaran (Letter of Award) palsu daripada sebuah firma reka bentuk bagi cadangan projek pengubahsuaian di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak. Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya pada 27 September 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Semasa rayuan, peguam tertuduh, Farith Emier Farhan Morni, memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh, termasuk pulang secara sukarela dari Bangladesh pada November tahun lalu selepas dipanggil untuk siasatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran. Beliau menegaskan bahawa tertuduh telah menyalahgunakan kepercayaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan menggunakan dokumen palsu bagi projek yang tidak wujud.
Berdasarkan fakta kes, Jabatan Imigresen telah menghantar e-mel kepada syarikat tertuduh, Nisa Resources Sdn Bhd, pada 18 September 2023 untuk menjadualkan janji temu bagi permohonan RTK 2.0 melibatkan 14 pekerja binaan.
Berikutan itu, tertuduh melalui isterinya (yang juga pengarah bersama syarikat tersebut), telah mengemukakan permohonan ‘cap jari’ dan senarai pekerja pada 27 September.
Semasa janji temu di Bahagian Penguatkuasa Putrajaya, isteri tertuduh telah menyerahkan surat tawaran palsu daripada ‘Orion Management Corporation’ seolah-olah ia dokumen tulen.
Pihak Perbadanan Pengurusan Kondominium Orion kemudiannya mengesahkan bahawa dokumen tersebut adalah palsu. Mereka menyatakan bahawa projek berkenaan tidak wujud, kepala surat (letterhead) yang digunakan adalah tidak sah, dan pihaknya tidak pernah berurusan dengan Nisa Resources.