Stesen televisyen (TV) terkemuka negara, TV3 bakal menyambut sambutan ulang tahun ke-40 pada 1 Jun ini. Sebagai menghargai para penonton setia yang sentiasa memberi sokongan jitu hingga ke hari ini, TV3 mengetengahkan pelbagai kandungan program dan aktiviti menarik bagi menyemarakkan sambutan ini.
TV3 dalam kenyataan mengumumkan sempena ulang tahun ke-40, Inspirasi Generasi diangkat sebagai tema sambutan, sesuai dengan status ikonik penyiar itu yang sentiasa memberi inspirasi sebagai pencetus, pengubah ‘trend’ atau aliran dan perintis dalam dunia TV.
Sehubungan itu, tujuh tonggak utama slot program TV3 dan identifikasi (ID) TV3 diberi penjenamaan atau identiti baharu yang sesuai dengan tema kempen ulang tahun, iaitu merangkumi slot 9PM, Drama, Wanita, Hiburan, Jaguh Kartun, Hidupkan Pagi dan Raudhah, bagi menggantikan yang lama.
Buat julung kalinya, TV3 juga mengumumkan kerjasama dengan Galeri Seni Digital, Muzium Telekom dalam menganjurkan Immersio: Inspirasi Generasi TV3 mulai 20 Mei hingga 9 Jun ini.
Untuk memperingati pencapaian ini, TV3 merancang pelbagai aktiviti menarik bagi menggegarkan sambutan sepanjang bulan ini, iaitu Inspirasi Pameran Seni Kontemporari Digital (audio & visual), Inspirasi Bazar dan Lights & Art Expressive Showcase, iaitu persembahan artis terkenal.
Dalam berhibur dan meraikan ulang tahun ke-40, TV3 tidak melupakan isu semasa yang sedang melanda dunia.
“TV3 turut sensitif dan mengambil berat terhadap konflik di Palestin sekarang. Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sepanjang aktiviti berlangsung.
“Kami berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka. TV3 akan terus menyokong usaha kemanusiaan dan keadilan sejagat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV3, Nini Yusof.
Antara aktiviti-aktiviti yang disediakan di Immersio: Inspirasi Generasi TV3 di Muzium Telekom ini selain dari tempat-tempat tarikkan ‘OOTD’ untuk generasi kini adalah:
Inspirasi Art Showcase (20 Mei – 9 Jun)
Persembahan cahaya interaktif dan seni kontemporari. Alami dunia TV3 di Muzium Telekom melalui ‘project mapping’ yang memaparkan hasil karya enam anak seni tempatan mengubah enam bilik di Muzium Telekom dan melaksanakan projek pemetaan cahaya dan seni! Inilah masanya untuk pengunjung hadir dan meneroka seni kontemporari dan digital dari sudut pandang pengkarya tentang program terbaik TV3.
Matlamat projek seni ini adalah untuk meneroka dan mengenali TV3 melalui perspektif generasi kini tentang apa yang diperlukan untuk menjadi sumber inspirasi sepanjang masa dan bagaimana ia boleh dicerminkan melalui program utama di TV3.
Inspirasi Bazaar (1 & 2 Jun)
Pengunjung boleh meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu di Inspirasi Bazaar. Inspirasi Bazaar ini merupakan gabungan bazar gerai jual-jualan dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Selain itu, Inspirasi Bazaar turut mengadakan sesi busking hebat menerusi kolaborasi bersama Atas Angin.
Lights & Arts Expressive Showcase (1-2 Jun & 8-9 Jun)
Pastikan anda lock empat tarikh utama ini! Pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan secara dekat yang menampilkan artis terkenal negara! Persembahan lebih satu jam ini akan dimeriahkan lagi dengan berlatarbelakangkan cahaya digital interaktif. Antara penyanyi yang bakal membuat persembahan adalah Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Naim Daniel, dan Alyph.
Pengunjung tidak akan pulang dengan tangan kosong! Sebagai tanda penghargaan TV3 kepada penonton setianya, pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah hebat seperti televisyen Samsung dan baucar langganan Tonton selama setahun melalui acara Golden Ticket Hunt! Pengunjung hanya perlu mencari tiket yang tersembunyi di dalam Muzium Telekom bermula pada 1 & 2 Jun sahaja.
Terdapat 40 tiket yang disembunyikan di pelbagai tempat untuk pengunjung menangi. Rebut peluang anda kerana anda mungkin salah seorang pemenang bertuah yang bakal membawa pulang hadiah hebat ini!
Tidak ketinggalan, konten media sosial dan digital TV3 turut menyumbangkan kepada projek ini dengan menggalakkan penonton untuk menyumbangkan kenangan dan mesej mereka kepada kapsul masa melalui media sosial, untuk memupuk rasa komuniti dan nostalgia.
Mari raikan ulang tahun ke-40 TV3 melalui program dan aktiviti disediakan. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari https://www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter di TV3Malaysia serta TikTok TV3MalaysiaOfficial.