Sudah menjadi rutin buat penyampai berita menyampaikan isu semasa yang berlaku. Dalam pada itu, sifat manusia yang penuh dengan simpati dan empati terkadang membuatkan seseorang gagal menahan sebak khususnya melibatkan kes kematian kanak-kanak.

Situasi ini turut berlaku kepada penyampai berita TV3, Norintan Ezreena Amir Hamzah di mana beliau dilihat sebak sewaktu menyampaikan berita melibatkan seorang kanak-kanak 4 tahun yang maut dilanggar sebuah kereta SUV.

Beliau yang pada mulanya dilihat sebak mulai kehilangan suara lalu menangis sebelum meneruskan pembacaan berita. Suara serta ekspresinya telah membuatkan para netizen turut berasa sebak dengan insiden yang berlaku.

Selain itu, terdapat juga netizen yang memaklumkan mereka sangat faham dengan perasaan penyampai berita ini yang mungkin terkenang dengan anak-anak atau kenalan rapat yang sama usia dengan kanak-kanak yang maut tersebut.

Walau bagaimanapun, tahniah diucapkan atas sifat profesionalisme yang ditunjukkan Norintan Ezreena di mana beliau dapat kembali meneruskan pembacaan berita dengan segera.

Didoakan semoga keluarga kanak-kanak ini tabah menghadapi ujian yang melanda dan dipermudahkan segala urusan menempuh hari mendatang.