Bulan lalu telah menyaksikan Samsung melancarkan dua model penuh gaya dan inovasi menerusi siri Galaxy Z iaitu Flip5 5G dan Fold5 5G. Kedua-dua model ini hadir kelebihan masing-masing dalam menawarkan lebih banyak pilihan buat para pengguna dalam mendapatkan sesebuah telefon pintar.

Model yang dilancarkan pada kali ini berjaya membuatkan orang ramai lebih teruja untuk mendapatkannya menerusi penawaran harga yang kompetitif berdasarkan inovasi yang ditawarkan.

Baca Juga:

Kami juga tidak melepaskan peluang dalam mencuba model terbaru Samsung ini iaitu Galaxy Z Flip5 5G bagi mengetahui lebih lanjut sejauh manakah model terbaru Samsung ini sesuai digunakan sebagai kegunaan seharian. Berikut merupakan ulasan ringkas kami mengenai model ini.

Rekaan Samsung Galaxy Z Flip5 5G
Apa yang pengguna bakal terima dalam sebuah kotak Samsung Galaxy Flip5 5G

Buka sahaja daripada kotak, perkara yang pastinya dicuba sudah pastinya proses membuka dan menutup model ini. Berdasarkan percubaan kami, proses membuka dan menutup model ini lebih lancar dan kukuh berbanding model sebelumnya.

Difahamkan pihak Samsung turut membuat pembaharuan bagi mekanisme membuka dan menutup model ini agar skrin lebih terjaga sekaligus mengelakkan daripada hadirnya garisan pada bahagian tengah skrin dengan lebih mudah.

Rekaannya yang kompak sememangnya sangat selesa untuk dipegang dan disertakan dalam poket dimana saiznya tidak terlalu tebal meskipun dalam keadaan tertutup.

Dilengkapi spesifikasi seakan telefon pintar flagship

Samsung Galaxy Z Flip5 5G hadir dengan skrin 6.7-inci AMOLED 2X 120Hz. Penawaran skrin kecil 3.4-inci pada bahagian hadapan model sewaktu ditutup sememangnya sangat membantu dalam menyemak waktu, cuaca dan juga notifikasi.

Untuk pengetahuan, penawaran skrin yang lebih besar pada bahagian hadapan model ini sekaligus menjadi antara perubahan terbesar pada Samsung Galaxy Flip5 5G ini.

Samsung juga turut memberi peluang kepada pengguna untuk mengubah suai skrin bahagian hadapan dalam menyertakan gambar atau shortcut yang dimahukan dalam memudahkan pengguna.

Model ini dikuasakan oleh processor Snapdragon 8 Gen 2 beserta 8GB RAM dan 256/512GB ruang storan. Kamera utama dan kedua Flip5 5G ditawarkan dengan sensor 12 megapixel manakala lensa ultra lebar turut ditawarkan dengan 12-megapixel.

Untuk pengetahuan, terdapat empat warna yang ditawarkan buat pasaran Malaysia iaitu Mint, Graphite, Lavender dan Cream. Samsung Galaxy Z Flip5 5G sedia untuk didapatkan melalui pra-tempah melalui Samsung Malaysia dengan harga bermula daripada RM4,999.

Nantikan juga review penuh daripada kami untuk Samsung Galaxy Z Flip5 5G. Pada pandangan awal kami, Samsung dilihat bukan sahaja sekadar menghasilkan peranti yang boleh lipat namun turut menawarkan beberapa fungsi menarik yang eksklusif buat model ini.