Seorang wanita memuat naik satu video di TikTok meluahkan rasa kurang senang apabila dua orang anaknya digelarkan ‘ekor’ oleh seorang doktor klinik kesihatan.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak memberi teguran terhadap seorang doktor Klinik Kesihatan Menglembu, di sini selepas didapati tidak memberi layanan profesional terhadap pesakit di klinik berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata, teguran terhadap doktor terbabit supaya berkomunikasi secara profesional dan melakukan pemeriksaan klinikal yang baik terhadap semua pesakit di klinik itu diberikan selepas maklum mengenai video tular kejadian itu.
Tambah beliau lagi, siasatan yang dijalankan JKNP mengesahkan seorang pesakit kanak-kanak yang mengalami demam, batuk, dan selesema menerima rawatan di klinik terbabit pada 6 Disember lalu.
Bagaimanapun didapati bahawa kualiti rawatan serta tahap komunikasi yang disampaikan oleh pegawai perubatan itu kurang memuaskan.
“JKN Perak mengambil maklum insiden seorang pelanggan yang mendapat layanan tidak profesional daripada doktor di klinik itu. Kita sudah beri teguran kepada doktor berkenaan supaya berkomunikasi secara profesional dan melakukan pemeriksaan klinikal yang baik bagi semua pesakit yang hadir,” petik kenyataan rasmi JKN Perak.
Untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang, JKN Perak sudah mengarahkan supaya Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Menglembu menjalankan audit klinikal secara berkala — peringatan itu turut diberikan kepada semua fasiliti kesihatan di negeri Perak.
Dalam pada itu, wanita tersebut juga telah membuat laporan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) terhadap doktor yang mengelarkan ‘ekor’ terhadap kedua-dua anaknya.