Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) secara rasmi telah melantik Paolo Maldini sebagai Pengarah Teknikal baharu dan Presiden Club Italia, sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu buat bola sepak Itali.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden FIGC, Giovanni Malago menurut sumber beIN Sports itu mendedahkan bahawa Maldini bersetuju menerima jawatan tersebut selepas beberapa hari mengadakan perbincangan.
Legenda itu akan bekerjasama rapat dengan bekas eksekutif bola sepak Brazil, Leonardo yang turut dilantik sebagai penasihat kepada projek berkenaan.
Kepakaran Paolo Maldini Ditagih Bola Sepak Itali
Jawatan baharu Pengarah Teknikal itu diwujudkan bagi menyelia pembangunan bola sepak Itali di semua peringkat, termasuk skuad kebangsaan senior serta sistem pembangunan pemain muda.
Antara tugas pertama Maldini ialah membantu memilih ketua jurulatih baharu Itali dengan keputusan itu akan dibuat secara bersama oleh Malago dan Leonardo.
Menurut presiden persekutuan itu, Maldini sememangnya merupakan calon pilihan utama untuk mengetuai projek tersebut berikutan kepimpinan, pengetahuan mendalam mengenai bola sepak serta reputasi antarabangsanya.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang selama empat tahun yang bertujuan membangunkan semula skuad Azzurri menjelang Piala Dunia FIFA 2030, di samping menyasarkan kejayaan pada saingan EURO akan datang.
Pelantikan Paolo Maldini menyaksikan antara ikon terhebat dalam sejarah bola sepak Itali kembali memegang peranan kepimpinan.
Selepas menikmati karier cemerlang sebagai pemain serta pengalaman berjaya sebagai pengarah sukan dan teknikal AC Milan, harapan kini tinggi agar beliau mampu mengembalikan Itali sebagai antara kuasa utama bola sepak antarabangsa, selain membimbing generasi baharu bintang Azzurri.