Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali menyatakan walaupun dalam situasi kecemasan, penggunaan lampu amaran atau siren bukanlah satu kebenaran untuk mengabaikan lampu isyarat merah, serta mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurut beliau, penggunaan lampu amaran khas pada sesebuah kenderaan adalah tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, petik Harian Metro.

Setiap kenderaan yang tiba di lampu isyarat perlu memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan, walaupun menggunakan lampu beacon dan siren.

“Sesiapa saja tidak boleh melebihi daripada undang-undang. Malah dalam sesi libat urus kita sudah menyatakan dengan jelas, mana-mana kenderaan walaupun (dalam situasi) kecemasan, apabila sampai di lampu isyarat, kita kena pastikan pengguna jalan raya lain dalam keadaan selamat dulu, kemudian baru kita boleh ‘cross‘ (meneruskan perjalanan).

“Ada satu kes sebelum ini pemandu ambulans didakwa. Ini bermakna mereka tidak boleh ‘simply‘ (sesuka hati) menggunakan lampu beacon dan siren untuk melanggar lampu isyarat tanpa melihat kiri dab kanan dulu.

“Keselamatan pengguna jalan raya lain lebih penting,” katanya pada sidang media, hari ini selepas melawat lokasi kejadian yang mengorbankan tiga beranak selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Waktu Operasi Pun Kena Patuh Undang-Undang

Memetik Harian Metro lagi, kenderaan Imigresen yang terbabit dalam satu operasi itu tidak mengecualikan pemandunya daripada mematuhi undang-undang jalan raya.

“Bagaimana mendesaknya keadaan kecemasan itu, apabila tiba di lampu isyarat, pemandu terlebih dahulu perlu memastikan tiada kenderaan sebelum melintas persimpangan,” katanya.

Kenderaan kementerian atau agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri dan menjalankan fungsi penyiasatan serta penguatkuasaan adalah tertakluk kepada ketetapan berhubung jenis dan penggunaan lampu amaran khas sebagaimana diperuntukkan.

Namun kebenaran menggunakan lampu amaran khas atau siren bukanlah memberikan hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan.

“Di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hak keutamaan mengatasi lalu lintas lain semasa menjalankan tugas kecemasan diperuntukkan kepada kenderaan tertentu iaitu ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) , Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kenderaan-kenderaan berkenaan perlu memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada sebagaimana yang diperuntukkan.

“Penggunaan lampu amaran atau siren juga tidak boleh dianggap sebagai kebenaran untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Pada masa sama, tindakan pengguna jalan raya sengaja menghalang, memblok atau mengikut rapat (tailgating) kenderaan pasukan yang sedang menjalankan tugas dalam mod kecemasan juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Sumber