Sepasang suami isteri warga Singapura-Amerika yang berharap untuk memulakan kehidupan tenang di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) kecewa selepas membeli sebuah kondominium bernilai RM2.66 juta di Mont Kiara.
Kekecewaan berlaku selepas mendapati unit mereka di Kondominium Agile Mont Kiara didapati tidak boleh didiami akibat kerosakan teruk, termasuk kebocoran, dinding retak, dan jangkitan kulat sejak tahun 2021, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- Kerja Kutip Sampah Tergendala, Kereta Mewah McLaren Halang Laluan Masuk Kondominium Di Mont Kiara
- Penumpang Malaysia & Singapura Harap Setiap Gerabak Tren ‘Wajibkan’ Letak Pewangi Softlan
- Netizen Puas Hati Tengok Pekerja Shell Gagalkan Cubaan BMW Milik Warga Singapura Isi RON95
Pasangan tersebut, Ho Yui Luen dan Ho Shuang Li (plaintif), kemudiannya menyaman pemaju Agile PJD Development Sdn Bhd (defendan) selepas menanggung lebih empat tahun tekanan, penginapan di hotel, bayaran storan, dan kerja-kerja pembaikan kerosakan yang tidak berkesudahan.
Menurut dokumen mahkamah, plaintif telah menjalankan pemeriksaan ke atas unit tersebut sejurus selepas menerima kunci pada 4 Februari 2021, dan mendapati hartanah itu dipenuhi dengan kerosakan teruk yang menjadikannya tidak sesuai untuk didiami.
Antara masalah yang dikenal pasti termasuk kebocoran air, keretakan pada dinding struktur, kemasan yang tidak siap akibat mutu kerja yang rendah, serta kemasan kalis air yang tidak mencukupi.
Plaintif memutuskan untuk berpindah masuk pada 6 November 2021 selepas defendan menjalankan beberapa pusingan kerja pembaikan di bahagian bumbung, termasuk kerja menebuk, menyimen, memasang membran torch-on, dan menurap semula lantai.
Namun begitu, pasangan itu mendakwa bahawa kerosakan tersebut masih berulang kembali, sekali gus membantutkan mereka untuk menikmati duduk di unit tersebut.
Dalam keterangannya, Yui Luen berkata isu berkenaan telah mengganggu kehidupannya dengan teruk disebabkan gangguan berterusan daripada pekerja defendan yang menjalankan kerja-kerja pembaikan, tekanan akibat kerosakan yang berulang, serta keperluan untuk berpindah masuk dan keluar dari unit tersebut berulang kali.
Beliau berkata anak perempuannya kerap mengalami sakit kepala akibat pertumbuhan kulapuk, yang menjejaskan kesihatan serta kehidupan sosialnya.
Si bapa juga memberi keterangan bahawa anaknya sering mengadu seolah-olah “tinggal di dalam bilik stor” disebabkan oleh kotak-kotak yang bertimbun dan rak-rak yang digantung di dalam bilik tidurnya.
Sementara itu, pihak pemaju berhujah bahawa mereka telah menyerahkan notis penyerahan milikan kosong kepada plaintif bersama-sama, antara lain, Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang mengesahkan bahawa unit tersebut selamat dan sesuai untuk diduduki.
Syarikat itu menyatakan bahawa plaintif tidak pernah, pada bila-bila masa yang relevan, mencabar kesahihan CCC atau cara penyerahan milikan kosong dilakukan, dan mendakwa bahawa kerosakan yang dilaporkan hanyalah kerosakan kecil.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi (Pembinaan), Nadzarin Wok Nordin, dalam penghakimannya, tidak bersetuju dengan dakwaan defendan, dengan menyatakan bahawa semasa lawatan tapaknya, beliau mendapati tahap kelembapan di unit tersebut adalah teruk dan unit itu tidak boleh didiami.
“Saya dapati kerosakan tersebut masih wujud pada hari lawatan dilakukan dan kelembapan dapat dilihat dengan jelas dengan mata kasar.
“Pada pandangan saya, kerosakan itu cukup serius sehingga menyebabkan unit tersebut tidak boleh didiami — apatah lagi memandangkan ia dipasarkan sebagai kondominium mewah.”
“Kerosakan yang berlaku, terutamanya kebocoran air, pada pandangan saya adalah teruk dan signifikan, dan menunjukkan kegagalan defendan untuk membina unit tersebut dengan cara yang baik dan kemas,” kata hakim itu dalam alasan penghakimannya baru-baru ini.
Nadzarin berkata defendan juga telah melanggar Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan gagal membina unit tersebut menggunakan bahan yang baik atau dengan cara yang kemas.
“Unit tersebut mempunyai pelbagai kerosakan, termasuk, tetapi tidak terhad kepada kelembapan, kebocoran air, kemasukan air, sistem kalis air yang gagal, retak pada dinding, isu lantai, dan kerja-kerja kemasan yang belum diperbaiki dengan betul.”
“Defendan gagal mengikut amalan standard dalam menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan betul dan teliti, terutamanya dengan tidak melantik pakar yang berkelayakan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh menggunakan peralatan khusus untuk mengesan kebocoran air,” katanya.
Mahkamah kemudiannya memberikan ganti rugi khas sebanyak RM189,538.15, ganti rugi am sebanyak RM200,000, ganti rugi teladan sebanyak RM100,000, dan ganti rugi yang ditentukan sebanyak RM20,426.84 (LAD).
Nadzarin juga mengarahkan defendan untuk mengeluarkan surat jaminan dan indemniti bagi membaiki kerosakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh penghakiman.
Peguam-peguam San Peggy, Chin Yu Yen, dan Lee Yen Jia mewakili plaintif manakala defendan diwakili oleh Lee Pay Wen dan Vivian Than On Yee.