Sepasang suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun ditahan selepas disyaki rakan subahat kepada Long Tiger yang berjaya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Bukit Gambir kira-kira 12.30 tengah malam dan direman selama empat hari hingga Jumaat ini.
Ayob Khan menambah operasi untuk mengesan Long Tiger masih berjalan dan beliau percaya Long Tiger masih berada di kawasan Bukit Gambir dan sekitarnya.
KERATAN AKHBAR PILIHAN: ‘LONG TIGER’ MASIH BERADA DALAM NEGARA
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://t.co/mO08L5TzCa pic.twitter.com/G69FeLlL42
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) December 22, 2021
“Saya menyeru kepada masyarakat dan orang awam, jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia sedang diburu oleh pihak polis.
“Kalau kita dapat maklumat dan ada bukti bahawa ada orang awam mencuba melindungi Long Tiger, kita akan buat tindakan yang sama,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Khas Bersepadu (Bas Ekspres/Persiaran) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Hentian Simpang Renggam (Utara) Lebuhraya Utara Selatan di sini, malam tadi.
Dua anggota polis digantung tugas
Sementara itu, dua anggota polis digantung tugas bagi membantu siasatan kes lari Long Tiger selepas disyaki terlibat secara langsung atas kesalahan cuai yang menyebabkan tahanan berjaya larikan diri.
“Sebelum ini kita ada panggil empat anggota untuk soal siasat dan hasil daripada itu dua daripadanya kita tahan (gantung) kerja kerana disyaki terlibat secara lansung atas kesalahan cuai. Walaupun mereka ini (dua anggota polis) tidak dituduh lagi di mahkamah, kita lihat kesalahan ini serius dan kita ambil tindakan untuk tahan kerja mereka.
“Kita siasat segala aspek sama ada dia bersubahat, bersengkongkol atau dirasuah, itu semua kita siasat bukan dari segi kecuaian sahaja,” kata Ayob Khan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana IPD.
Sebelum ini Long Tiger ditahan pihak berkuasa atas kesalahan ugut dan kurung bekas pekerja. Baca lagi pada pautan di bawah.
Kurung Bekas Pekerja, Warga Rohingnya Dikenali ‘Long Tiger’ Ditahan Polis
Yusuf Azmi Buka Mulut, Nasihat ‘Long Tiger’ Jangan Suka Berperang Sana Sini