Bulan mulia Ramadhan akan menjengah esok hari dan pelbagai resepi makanan sudah mula bermain-main di media sosial termasuklah Kurma Butter atau mentega yang kini sedang mendapat perhatian umat Islam di Malaysia.

Semua pasti tahu bahawa kurma adalah makanan yang sering dijamah di bulan puasa, tidak kira semasa berbuka mahupun semasa bersahur di pagi hari.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kini rakyat Malaysia mula dihidangkan dengan resepi baharu kurma, iaitu kurma yang diletakkan dengan mentega atau kini lebih dikenali sebagai Kurma Butter.

Hidangan ini mula terkenal di laman TikTok selepas salah seorang pengguna di sana berkongsi tips untuk tahan lapar semasa bulan berpuasa dengan mengambil Kurma yang diletakkan mentega di bahagian tengah.

Resepi ini rupanya bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah mendapat perhatian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut berkongsi kebaikan Kurma Butter ini.

Melalui perkongsian beliau di laman Instagram, Dr. Zulkifli menyarankan agar umat Islam, terutamanya di Malaysia, untuk mencuba Kurma yang diletakkan mentega kerana ia adalah resepi yang turut digemari oleh Rasulullah SAW.

“Bagi yang belum cuba, boleh buat untuk berbuka puasa. Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata:

“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Tulis beliau di bahagian kapsyen dalam video ucapan selamat berpuasa di laman Instagram beliau.

Selain itu, Dr Zulkifli turut berpesan agar orang ramai menggunakan mentega bukannya di marjerin, “Pastikan pure butter, bukan marjerin.”

Di bahagian komen, beberapa netizen menulis bahawa mereka sudah mencuba resepi Kurma yang diletakkan dengan mentega dan terkejut dengan keenakannya.

Selain itu, ada juga netizen yang menyarankan untuk diletakkan kacang badam bersama-sama dengan mentega tersebut.