Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Giorgio Pompili Rossi berharap kelab lain mencontohi Johor Darul Ta’zim (JDT) dari segi pengurusan pasukan bola sepak.
Beliau turut menghamburkan pujian kepada skuad Harimau Selatan yang telah mengecapi pelbagai kejayaan pada peringkat domestik dan juga antarabangsa.
Baca Juga:
- RASMI: Bekas Delegasi LaLiga Dilantik Sebagai CEO MFL
- MFL Lulus Permohonan Selangor Pinda Jadual Liga Super
- KDN FC ‘Pinjam’ Stadium JDT Sebagai Lokasi Tuan Rumah
Menurutnya, JDT memiliki kualiti yang tersendiri sehingga mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia.
“JDT telah menjadi juara selama beberapa tahun di Malaysia. Pasukan ini amat bagus dan kuat. Sejujurnya, saya rasa mereka akan mara lebih jauh dalam pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE).
“Mereka membawa nama Malaysia di luar negara. Jika berjaya mara lebih jauh, ini sesuatu yang bagus untuk bola sepak Malaysia.
“Di peringkat domestik, JDT bukan sahaja contoh dan rujukan terbaik di atas padang tetapi mereka sebuah pasukan yang diuruskan dengan baik dan juga membina fasiliti yang menakjubkan.
“Saya percaya dan berharap agar pasukan lain di Malaysia dapat meningkatkan kualiti masing-masing untuk bersaing dengan JDT kerana kalau ini terjadi, mutu saingan Liga Malaysia akan meningkat.
“Oleh itu, daripada mencipta konflik sesama kelab, saya melihat dari sudut lain bahawa setiap pasukan perlu anggap ia sebagai cabaran untuk maju ke hadapan,” jelas Rossi kepada pihak media.
Rossi telah dilantik sebagai CEO MFL yang baharu bagi menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontrak pada 31 Ogos 2024.