Bagi peminat setia jenama kopi tempatan, ZUS Coffee, pelancaran koleksi patung comel Zus Hippers semestinya menjadi satu khabar gembira yang dinanti-nantikan.

Malangnya, keterujaan itu bertukar menjadi lubuk kekecewaan apabila rata-rata peminat gagal mendapatkan koleksi tersebut menerusi saluran rasmi ekoran stok yang habis dalam sekelip mata.

Patung yang sepatutnya dapat menerusi set minuman secara percuma namun telah diambil kesempatan untuk membuat keuntungan.

Apa yang lebih menyedihkan, tidak sampai beberapa jam selepas kehabisan stok, patung-patung comel ini mula ‘membanjiri’ platform pihak ketiga.

Patung Zus Hippers Dijual Harga Kayangan RM80 Oleh Scalper Buat Peminat Naik Darah
Sumber Gambar: FB Zuss

Namun, ia tidak lagi dijual pada harga asal, sebaliknya ditawarkan pada harga ‘kayangan’ oleh golongan yang tidak bertanggungjawab iaitu scalper.

Model Rare ‘Zen Cha’ Jadi Mangsa, Harga Cecah RM80

Patung Zus Hippers Dijual Harga Kayangan RM80 Oleh Scalper Buat Peminat Naik Darah
Sumber Gambar: Threads

Taktik scalper ini bukanlah perkara baharu, tetapi kali ini tindakan mereka benar-benar menguji kesabaran orang ramai. Model spesifik yang menjadi buruan ramai seperti Zen Cha dan Mummy Puff dilaporkan dijual semula dengan harga mencecah RM79.90 seunit.

Merupakan satu lonjakan harga yang dianggap tidak masuk akal bagi sebuah patung hiasan kecil.

Lebih membuatkan netizen berang apabila ada scalper yang cuba mengaut keuntungan berganda dengan menjual set kombo.

“Ada yang sanggup letak harga sehingga RM200 untuk satu set, siap tulis ‘Kombo Berbaloi’. Berbaloi tang mana kalau harganya dah dinaikkan berkali-kali ganda daripada harga asal?” luah salah seorang peminat di media sosial.

Tinjauan di pelbagai platform digital mendapati ulat-ulat tiket (atau dalam kes ini, ulat patung) ini bergerak aktif mempromosikan barangan borongan mereka di Shopee, Facebook (FB), dan juga aplikasi yang sedang meningkat naik, Threads.

Patung Zus Hippers Dijual Harga Kayangan RM80 Oleh Scalper Buat Peminat Naik Darah
Sumber Gambar: Threads

Agak mengejutkan memang wujud pembeli yang sanggup membayar pada harga yang premium demi mendapatkan patung idaman masing-masing.

Netizen Mula Boikot, Lancar Kempen ‘Jangan Support Scalper’

Melihat kepada situasi yang tidak sihat ini, komuniti netizen dan peminat tegar ZUS Coffee mula bersuara.

Di ruangan komen Facebook dan bebenang Threads, rata-rata pengguna meluahkan rasa meluat dengan sikap tamak golongan scalper yang menutup peluang pembeli jujur demi keuntungan atas angin.

Satu gerakan moral kini sedang tular di media sosial, di mana netizen menyeru orang ramai supaya menolak dan memboikot sebarang jualan daripada scalper.

Netizen berpendapat, jika tiada permintaan (pembeli), maka scalper ini akhirnya akan terpaksa menurunkan harga atau menanggung kerugian.

Pengguna media sosial turut digesa untuk ‘report’ akaun-akaun di Shopee atau FB yang menjual barangan tersebut dengan harga manipulasi.

Kuasa Pembeli di Tangan Kita

Sikap tamak scalper ini sebenarnya boleh dihentikan jika kita sebagai pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi. Memang diakui, rasa teringin untuk memiliki model rare seperti Zen Cha itu membuak-buak, tetapi membelinya daripada golongan penindas ini hanya akan menyuburkan lagi ekosistem yang toksik ini.

 

Sumber