Bagi kebanyakan pemandu di Malaysia, menghidupkan aplikasi navigasi sejurus melangkah masuk ke dalam kereta sudah menjadi satu tabiat automatik.

Dari mengelak kesesakan jalan raya, mencari laluan pintas, sehinggalah mengesan sekatan jalan raya, aplikasi seperti Waze sudah lama dianggap sahabat setia di jalanan.

Namun, pengumuman mengenai arahan kerajaan yang melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi tersebut baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Ada yang keliru, ada yang menganggapnya keterlaluan, malah tidak kurang juga yang menjadikannya bahan jenaka harian.

Segalanya berubah apabila sebuah video penerangan yang dimuat naik oleh pencipta kandungan keselamatan siber di TikTok, @abang.blur, dikongsi semula di platform Threads oleh pemilik akaun rezaudinrazak.

Video berdurasi kurang dua minit itu tular dan berjaya meraih ratusan ribu tontonan kerana berjaya merungkai isu keselamatan data yang selama ini dipandang remeh oleh masyarakat biasa.

Realiti Garisan Merah Dan Biru Di Istana Kehakiman

Menerusi paparan video tersebut, penerangan dibuat secara visual melalui sistem penyunting peta Waze dengan memilih Istana Kehakiman di Putrajaya sebagai bahan kajian.

Pemilihan lokasi itu dibuat secara sengaja kerana ia merupakan kawasan awam dan bukan fasiliti ketenteraan yang terlalu sensitif, namun mekanisme pengumpulan datanya tetap sama.

Di skrin komputer, kelihatan ribuan garisan berwarna biru dan merah yang berselirat. Garisan tersebut merupakan rekod pergerakan pengguna jalan raya yang dirakam secara automatik oleh pelayan aplikasi setiap kali pemanduan aktif.

Pendedahan ini selari dengan panduan rasmi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang menggariskan tiga kebimbangan utama: data lokasi masa nyata, corak perjalanan harian, dan pihak yang mempunyai kawalan penuh terhadap pemilikan data berkenaan.

Apa yang lebih mengejutkan, apabila peta dizum masuk ke bahagian dalam kawasan bangunan, laluan pergerakan manusia masih dapat dilihat dengan jelas. Ada laluan lurus yang dikesan merentasi kawasan lapang walaupun di situ tiada sebarang jalan raya berturap.

“Kalau nak buat sebarang operasi, benda-benda macam inilah yang akan diperhatikan. Mereka boleh buat analisa sama ada itu laluan pintas, pergerakan pejalan kaki, atau jalan rahsia yang tersembunyi,” jelas abang.blur dalam video berkenaan.

Tanggapan Guna Tanpa Log Masuk Meleset Sama Sekali

Antara hujah yang sering dilontarkan pengguna ialah mereka berasa selamat selagi tidak mendaftar nama atau tidak log masuk ke dalam akaun aplikasi. Bagaimanapun, tanggapan tersebut disangkal sepenuhnya dalam video yang sama.

“Ada yang beritahu aku guna Waze tapi tak pernah log masuk. Tak ada masalah kawan, sebabnya bukan log masuk itu sahaja yang menentukan identiti kau,” kongsi pengendali video tersebut.

Pangkalan data aplikasi masih boleh menjejak perkakasan fizikal melalui alamat Media Access Control (MAC address) telefon pintar pengguna.

Maklumat unik perkakasan ini kemudiannya boleh disilangkan dengan aplikasi lain yang sedang aktif di telefon yang sama untuk mengenal pasti siapa pemilik sebenar peranti tersebut.

Bukan itu sahaja, sistem turut menyimpan rekod log sejarah, kawasan yang kerap dikunjungi, dan waktu sebenar perjalanan dilakukan. Apabila data ini dipadankan, satu profil lengkap mengenai rutin harian seseorang individu dapat dibina dengan begitu terperinci.

Mengapa Arahan Dikeluarkan Khusus Buat Penjawat Awam?

Persoalan yang timbul di ruangan komentar Threads mempersoalkan sama ada langkah memadam aplikasi ini sudah terlewat memandangkan Waze telah bertapak di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya.

Menjawab persoalan tersebut, pemilik hantaran Threads berkenaan menjelaskan bahawa tindakan menghentikan penggunaan sekarang adalah untuk mematikan suapan data langsung (live data) ke pelayan luar serta-merta.

Langkah pencegahan ini diberikan keutamaan kepada penjawat awam, khususnya pegawai berpangkat tinggi seperti Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan petugas keselamatan yang mengendalikan dokumen sulit negara atau keluar masuk ke lokasi strategik.

“Saya dah lama guna aplikasi ini dan bertugas di bawah Kementerian Pertahanan. Risau juga bila fikir berapa banyak data pangkalan tentera kita yang sudah terakam. Eloklah padam sekarang,” luah salah seorang kakitangan pertahanan di ruangan komen yang mula menyedari implikasinya.

Faktor ini turut didorong oleh pendirian geopolitik Malaysia yang lantang bersuara dalam isu jenayah antarabangsa, menjadikan pertahanan data dan kedaulatan negara sesuatu yang perlu dilindungi daripada risiko risikan luar.

Kesedaran Digital Bermula Dari Poket Sendiri

Video penerangan ringkas ini membuktikan bahawa isu keselamatan siber bukan lagi topik asing yang hanya layak dibincangkan di bilik mesyuarat keselamatan negara. Ia bermula daripada gajet yang berada di dalam poket dan genggaman tangan kita setiap hari.

“Aku dah terangkan pada kawan semalam kenapa arahan ini dikeluarkan. Terus berubah muka dia dan waktu itu juga dia buang akaun dan padam aplikasi. Kalau isu kedaulatan negara dah disebut, janganlah kita anggap ini perkara main-main,” tulis seorang warga maya di Threads.

Kemudahan navigasi sememangnya banyak membantu urusan seharian, namun memahami harga yang perlu dibayar dari sudut privasi dan keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

Mengambil langkah berhati-hati bukan bermakna kita menolak kemajuan teknologi, tetapi memastikan kedaulatan dan privasi diri tidak tergadai demi sedikit keselesaan di atas jalan raya.

Sumber