PDRM FC mengambil langkah mengejutkan apabila mereka merehatkan ketua jurulatih, P. Maniam menjelang aksi final kedua saingan Piala Cabaran 2024/2025 menentang Selangor.
Menurut perkongsian wartawan Astro Arena iaitu Fadhirul Shuhaimi, PDRM merehatkan Maniam dan tugas selaku pengendali pasukan akan digalas oleh penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil hingga akhir musim 2024/2025.
Baca Juga:
- Selangor Lantik Pembantu Jurulatih Baharu Dari Jepun
- Selangor Pertimbang Guna Undang-Undang Untuk Kes Faisal Halim
- PDRM Siasat Video Sekumpulan Anggota Polis Didakwa Buat Serbuan Tak Ikut SOP

Malang Berganda PDRM FC
Selain kehilangan ketua jurulatih, PDRM FC turut ditimpa malang berganda apabila mereka dijatuhi hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pasukan PDRM kerana telah didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada perlawanan akhir pertama menentang Selangor di Stadium MBPJ, pada Sabtu, 15 Februari 2025.
Pada perlawanan tersebut, PDRM telah memasukkan Mohd Safiee Ahmad sebagai pemain gantian pada minit ke-58, sedangkan pemain berjersi No. 32 itu sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning iaitu pada perlawanan Suku Akhir 1 menentang Melaka FC dan perlawanan Separuh Akhir 2 bertemu Kedah Darul Aman FC.
PDRM FC telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 57 (berkenaan ketidaklayakkan) yang dibaca bersama Artikel 32 (berkenaan perlucutan hak) dalam Kod Tatatertib FAM apabila menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada perlawanan tersebut.
Sehubungan itu, PDRM telah dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah kalah perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 dan perlu membayar denda sebanyak RM3,000.
PDRM juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu.

Untuk makluman, segala urusan melibatkan penggantungan pemain adalah di bawah kendalian FAM sepenuhnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Pada aksi final pertama, Selangor telah menewaskan PDRM 3-2, namun selepas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM ini, Selangor diberikan kemenangan 3-0 ke atas PDRM bagi perlawanan tersebut.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada Final 2 MFL Challenge Cup 2024-2025, juga di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu, 22 Februari 2025, jam 9.00 malam dengan Selangor FC mendahului agregat 3-0.