Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melaksanakan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara, bermula 21 Ogos, Isnin lalu.

Operasi dilaksanakan itu akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Baca Juga:

Susulan itu, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan itu di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, berkata pada hari pertama pelaksanaannya, sebanyak 8,718 kenderaan dikenakan saman K170A iaitu 8,352 kereta, motosikal (44) dan 322 saman kenderaan perdagangan/perkhidmatan.

“Tindakan ini bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dalam negara.

“Anggota JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan.

“Saman kompaun bernilai RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah beliau, Mohd Nasri berkata, memandu melebihi kelajuan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini selepas pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.

“Kerjasama orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Sumber