Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima tiga buah motosikal berkuasa tinggi model Harley-Davidson bagi tujuan pelaksanaan ujian Proof of Concept (PoC) dalam usaha memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan penguatkuasaan trafik.
Majlis penyerahan rasmi tersebut telah diadakan di premis Route 77 Motors Sdn. Bhd., Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Route 77 Motors Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Omar Ali Abdullah kepada Pengarah JSPT, YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali.
Memetik kenyataan rasmi, inisiatif ini melibatkan tiga model terkini Harley-Davidson, iaitu:
1. 2026 Street Glide M8 117
2. 2026 Low Rider ST 117 High-Output
3. 2026 Pan America 1250 Special
Pihak Route 77 Motors Sdn. Bhd. menawarkan tempoh pelaksanaan PoC bermula 24 September 2026 sehingga 31 Disember 2026 tanpa sebarang obligasi kewangan atau komitmen pembelian kepada pihak PDRM JSPT.
Tempoh pengujian selama tiga bulan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh PDRM JSPT bagi menjalankan penilaian dan pengujian secara praktikal dan menyeluruh. Langkah ini bertujuan menilai kesesuaian jentera berkenaan dari aspek prestasi enjin, pengendalian, keselesaan pemanduan, keupayaan teknikal, serta keserasian dengan keperluan operasi penguatkuasaan di lapangan.
Pelaksanaan PoC ini sekali gus mencerminkan kerjasama strategik yang erat antara pihak industri automotive dan PDRM JSPT dalam meneroka penggunaan aset serta teknologi kenderaan moden bagi memperkasakan tugas kepolisan trafik.
Pihak PDRM JSPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Harley-Davidson Route 77 Kuala Lumpur atas sokongan serta sumbangan jentera bagi tujuan ujian penilaian ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Encik Larry Yap Eng Keong (Dealer Principal Harley-Davidson), YDH ACP Shankar a/l Sanrakasa (Ketua Urus Setia JSPT), serta barisan kepimpinan tertinggi JSPT dan pegawai-pegawai kanan Harley-Davidson.