Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 468 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan jumlah lebih RM16 juta.
Memetik Berita Harian, Hakim, Musli Ab Hamid, turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38, didenda sebanyak RM180 juta, dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, akan dikenakan hukuman penjara selama 36 bulan serta tiga sebatan.
Baca Juga:
- S-MM2H Sarawak: Gelombang Pemohon China Meningkat Mendadak
- 1,700 Pencarum KWSP Di Sarawak Miliki Simpanan RM1 Juta
- Sarawak Jadi Negeri Pertama Miliki Syarikat Penerbangan Sendiri, AirBorneo
Bagi setiap 36 pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan dihukum penjara selama 12 tahun dan denda RM5 juta, dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, dia akan dipenjara sebulan bagi setiap kesalahan.
Manakala bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dia dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan satu sebatan.
Hakim turut memerintahkan agar hukuman penjara yang dijatuhkan itu berjalan secara serentak.
Berikutan arahan tersebut, Mohd Zairull hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, tertakluk kepada kemampuannya membayar denda RM180 juta.
Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tempoh penjaranya akan ditambah tiga tahun lagi.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Zairull melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara tahun 2020 hingga 2022, yang membabitkan sejumlah RM6,013,504.30. Manakala kesalahan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan jumlah RM10,272,350.13 dilakukan antara tahun 2019 hingga 2021.
Perbuatan itu terbongkar apabila penyata gaji Mohd Zairull menunjukkan transaksi yang mencurigakan, dengan lebih RM4 juta dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.
Dia merupakan pegawai yang bertanggungjawab terhadap simulasi gaji jabatan tersebut di Sarawak dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan berkuat kuasa pada 31 Januari 2022 — namun beliau memendekkan tempoh notis tersebut dan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 31 Disember 2021.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Christopher Bada.