Leicester City yang baharu sahaja memecat pengurus pasukan, Steve Cooper sebaik tewas kepada Chelsea dalam aksi English Premier League (EPL) 2024/25 dikatakan berminat untuk merekrut Ruud Van Nistelrooy.

Selepas mengharungi 12 perlawanan, Leicester City menghuni tangga ke-16 dengan dua kemenangan, empat keputusan seri dan enam kekalahan dialami.

Baca Juga:

Walaupun kedudukan tersebut tidaklah seteruk apa yang sedang dialami Wolves, Crystal Palace, Ipswich Town dan Southampton, tetapi nasih jelas tidak menyebelahi Cooper.

Susulan dengan itu, Nistelrooy dikatakan menjadi keutamaan buat Leicester City walaupun nama David Moyes turut dikaitkan dengan The Foxes.

Spekulasi tersebut disahkan wartawan Sky Sports, Rudy Galetti yang mendedahkan bahawa Leicester City lebih berminat untuk memujuk Nistelrooy menyertai kelab tersebut.

Seperti diketahui, Nistelrooy meninggalkan Manchester United kira-kira dua minggu lalu setelah beliau tidak diberikan sebarang peranan dalam barisan kejurulatihan pengurus baharu, Ruben Amorim.

Ketiadaan Nistelrooy dalam barisan kejurulatihan itu turut dipersoalkan legenda Manchester United iaitu Rio Ferdinand.

‘Saham’ Ruud Van Nistelrooy sedikit melonjak selepas beliau bertindak selaku pengendali interim Manchester United berikutan pemecatan Erik Ten Hag.

Peningkatan aksi dapat disaksikan ketika The Red Devils berada di bawah kendalian bekas penyerang prolifik itu selepas mereka menundukkan Leicester City 5-2 dalam aksi Piala Carabao, menang ke atas PAOK 2-0 ketika Liga Europa dan sekali lagi mengecewakan Leicester dalam kempen liga dengan kemenangan 3-0.

 

 

Sumber