Seorang juruterbang pesawat tentera Amerika Syarikat meninggal dunia selepas membakar dirinya di hadapan kedutaan Israel di Washington DC pada hari Ahad, sambil menjerit “bebaskan Palestin” beberapa kali.

Ia tanda protes kepada Amerika Syarikat yang berterusan menjadi penyokong tegar Israel. Dan pada masa yang sama mengecam kekejaman zionis.

Aaron Bushnell, 25, dibawa ke hospital selepas pegawai Perkhidmatan Rahsia memadamkan api yang membakar seluruh badannya.

Dia melakukan protes itu kerana “tidak mahu lagi terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai”.

Tiada kakitangan kedutaan yang cedera, kata jurucakap kedutaan.

Jurucakap Pentagon menyebut kejadian itu, yang berlaku pada 13:00 waktu tempatan yang dianggap sebagai “peristiwa tragis”.

Dalam video yang disiarkan secara langsung di laman penstriman Twitch, Bushnell, yang berpakaian seragam tentera, memperkenalkan dirinya dan berkata dia adalah anggota Tentera Udara yang sedang berkhidmat.

Terdahulu, beliau telah menghantar e-mel kepada beberapa wartawan serta laman web berita berhaluan kiri dan anarkis. Atlanta Community Press Collective, salah satu kumpulan yang menerima e-mel, memberikan salinan kepada BBC.

“Hari ini, saya merancang untuk terlibat dalam tindakan protes melampau terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin,” dan dia turut memberi amaran ia akan “sangat mengganggu”.

Bushnell telah dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan akhirnya meninggal dunia.

Bushnell, dari San Antonio, Texas, dibesarkan di Massachusetts dan bersekolah di sekolah awam di semenanjung Cape Cod, menurut satu kenyataan dari daerah sekolah tempatan.

Beliau dilpaorkan memegang pangkat pegawai udara kanan.

Dalam profil Linkedinnya, Bushnell menyatakan bahawa dia telah menamatkan latihan asas Tentera Udara “kelas tertinggi” pada November 2020 dan bahawa dia telah berusaha “untuk beralih daripada Tentera Udara AS ke kejuruteraan perisian”.

Perang Israel-Gaza meletus pada 7 Oktober lalu. Dan semakin ramai nyawa terkorban terutama sekali di Gaza, di mana 29,300 orang telah terbunuh, menurut kementerian kesihatan Palestin.

Sehingga pertengahan Januari, 1.9 juta orang awam di Gaza telah kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah operasi ketenteraan Israel, menurut PBB, menyumbang 85% daripada penduduknya.

Golong pro Palestin di Amerika Syarikat mengadakan perhimpunan aman untuk mengenang Bushnell dengan upacara lilin peringatan.

Di X, ramai aktivis pro Palestin simpati dengan Bushnell yang dianggap ‘hero’ yang sudah tak tahan lagi melihat genosid. Bushnell sebelum ini pernah menyatakan dia kecewa kerana usaha untuk memberikan kesedaran tentang kekejaman zionis hanya dipandang remeh.