Barisan peguam yang dilantik oleh Selangor bagi mewakili Faisal Halim memaklumkan pihak polis masih belum memberi sebarang perkembangan terhadap anak guam mereka mengenai kes simbah asid yang dialami pemain itu.
Perkara itu dimaklumkan Encik Haijan Omar ketika sidang media di pusat latihan pasukan itu yang turut menjadi kemunculan pertama Faisal sejak disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Baca Juga:
- Faisal Halim Mohon Doa, Mahu Segera Kembali Beraksi
- Faisal Halim Terfikir Untuk Bersara Demi Keselamatan Keluarga
- Keadaan Terkini Faisal Halim Selepas Insiden Simbah Asid
Menurut Haijan, mereka percaya pihak polis sedang melakukan siasatan dan memberi ruang kepada badan itu untuk menjalankan tugas.
“Amat jelas dan kami percaya ia adalah sesuai untuk di siasat di bawah kesalahan jenayah serius Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata bahaya atau Seksyen 307 atas percubaan membunuh. Saya percaya Polis adalah lebih pakar dan tahu apa yang sesuai untuk kes ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Faisal Halim memohon doa dari semua pihak agar beliau kembali pulih dan beraksi bersama Selangor dan juga skuad kebangsaan.
“Saya dilahirkan untuk bermain bola sepak. Apabila ada musibah seperti ini menimpa saya, memang sukar untuk saya dan sekeluarga. Saya harap saya akan segera kembali beraksi di atas padang.
“Keadaan sekarang ini masih belum jelas sama ada saya boleh kembali beraksi ataupun tidak. Saya harap semua mendoakan saya agar segera kembali beraksi,” katanya.
Pihak doktor memberikan garis masa tiga hingga ke enam bulan untuk Faisal Halim kembali beraksi namun pemain yang mempunyai jiwa pejuang itu meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam tempoh masa sebulan.