Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bukanlah satu perkara asing lagi. Ramai yang sanggup bangun awal pagi dan beratur panjang untuk masuk negara jiran sebagai ‘pejuang SGD’ bagi mendapatkan gaji yang berlipat kali ganda.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohamed Ismail KP Pakir Mohamed menyatakan jumlah rakyat Malaysia bekerja di Singapura akan menurun dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun.
Baca Juga:
- Pejuang SGD Dakwa Kos Sara Hidup Lebih Murah Di Singapura Berbanding Malaysia
- ‘Ringgit Semakin Kuat, 1 SGD Bakal Jadi RM2.90 Tak Lama Lagi’ – Pakar Singapura
- Dengan SGD 33, Ini yang Anda Dapat Makan Di Singapura
Menurutnya, faktor utama adalah dengan termeterainya Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada negara, petik Berita Harian.
Perjanjian tersebut dijangka akan menarik banyak pemain industri dan pelabur luar untuk beroperasi sekali gus memberikan impak kepada peluang pekerjaan.
“Bagi tempoh jangka panjang, pelajar aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan memenuhi pasaran dan bersesuaian dengan adanya JS-SEZ, peluang pekerjaan untuk mereka akan ada serta dalam masa sama, pekerja mahir dan separuh mahir dari seluruh negara akan mula tertumpu di kawasan berkenaan.
“Kita juga akan dapat lihat sekurang-kurangnya dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun, rakyat di negara ini dijangka berkurang untuk bekerja di negara luar termasuk Singapura apabila banyak syarikat atau pelabur berada di negara itu akan beroperasi di zon JS-SEZ, ia akan memberikan impak positif ekonomi negara,” jelas beliau.
Pada masa sama pertambahan penduduk juga dijangka meningkat. Ia bukan sahaja datang dari seluruh negara, tetapi pekerja mahir dari luar negara juga akan datang tinggal di sini. Jadi penduduk tempatan berpeluang meningkatkan ekonomi dalam perniagaan sektor makanan dan peruncitan.
Dalam pada itu Mohamed Ismail cadangan kerajaan pusat untuk menambah baik Projek Lebuh Raya Pantai Barat atau West Coast Expressway (WCE) yang bakal menghubungkan Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor sebagai satu langkah baik.
Untuk rekod, nilai pertukaran mata wang satu SGD hari ini bersamaan dengan RM3.29.