Pernahkah anda terfikir mengapa pemandangan tapak binaan atau kuari di Malaysia kelihatan sangat berbeza berbanding di Indonesia?
Jika di Malaysia kita sering melihat timbunan batu agregat berwarna putih atau kelabu cerah, situasi di Indonesia pula sebaliknya batuan di sana kebanyakannya berwarna gelap dan hitam pekat.
Persoalan ini menarik perhatian seorang pekerja binaan dari Indonesia yang berkongsi pemerhatiannya mengenai perbezaan geologi antara dua negara serumpun ini. Menurut beliau, perbezaan warna ini bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia menceritakan sejarah bumi yang sangat berbeza.
Rahsia di Sebalik Gunung Ganang
Dalam satu perkongsian, pekerja binaan tersebut menjelaskan bahawa punca utama perbezaan warna ini terletak pada asal-usul gunung tempat batu tersebut diambil.
“Orang Indonesia mesti tahu, batu di Malaysia ini kebanyakannya putih, sedangkan di kampung saya hitam pekat. Ini kenapa ya?” soalnya memulakan bicara.
Beliau kemudian menghuraikan bahawa batuan di Malaysia rata-ratanya berasal dari banjaran gunung jenis granit dan kuarsa (quartz).
Kandungan mineral kuarsa yang tinggi inilah yang memberikan ton warna cerah dan putih kepada batuan di Malaysia.
Berbeza pula dengan Indonesia, terutamanya di kawasan Jawa Tengah, batuan yang digunakan dalam industri pembinaan biasanya diambil dari kawasan gunung berapi aktif seperti Gunung Merapi.
“Kalau di Indonesia, warnanya cenderung gelap kerana di daerah saya, batunya berasal dari Gunung Merapi. Disebabkan batu ini kaya dengan bahan semula jadi seperti basal dan andesit, sebab itulah warnanya menjadi lebih gelap.” tambahnya lagi.
Bukan Sekadar Warna, Tekstur Juga Berbeza
Selain daripada aspek visual, pekerja binaan tersebut turut menyentuh mengenai sifat fizikal batuan tersebut. Menariknya, batuan granit dari Malaysia dikatakan lebih ringan, sekali gus menjadikannya lebih mudah untuk diproses atau diolah bagi tujuan pembinaan.
Namun, itu tidak bermakna batuan di Indonesia kurang berkualiti. Batuan basal dan andesit dari gunung berapi Indonesia mempunyai kepadatan yang lebih tinggi dan tekstur yang lebih keras.
Walaupun lebih mencabar untuk diolah, ia menawarkan ketahanan yang luar biasa.
Geologi yang Unik
Di akhir perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa perbezaan ini bukanlah kayu ukur untuk menentukan batuan mana yang lebih baik, tetapi lebih kepada keunikan geologi setiap negara.
“Bukan bermaksud batu di Malaysia ini tidak bagus, cuma asal-usul geologinya sahaja yang berbeza. Di Malaysia asalnya gunung granit, di Indonesia pula dari gunung berapi,” jelasnya bagi memperbetulkan tanggapan umum.
@handy_merantau Orang Indonesia wajib tahu ini — batu di Malaysia putih semua, di Indonesia hitam! Bukan soal kualitas tapi asal geologinya beda total. Malaysia dari pegunungan granit, Indonesia dari vulkanik Merapi. Dari batu pun dua negara ini punya cerita yang berbeda! Batu di daerahmu warna apa? 👇 #fyp #fypシ #viral #TKImalaysia #kehidupanTKI
Ternyata, sekecil-kecil perkara seperti sebiji batu mampu menceritakan perbezaan besar tentang kerak bumi yang kita pijak. Bagaimana pula dengan batu di kawasan anda?