Pelawak dan usahawan popular, Ajak Shiro, meminta orang ramai terutamanya pelanggan restoran Bumbu Babah agar lebih berwaspada dan memastikan setiap transaksi pembayaran dibuat terus ke akaun rasmi syarikat, bukannya akaun peribadi individu.

Peringatan itu diberikan selepas beliau menerima aduan daripada beberapa orang pelanggan yang musykil apabila diminta oleh pekerja restoran untuk memindahkan wang pembayaran makanan ke akaun bank peribadi.

Menurut Ajak, hasil pemeriksaan lanjut mendapati wujud tindakan tidak jujur oleh segelintir pekerja yang cuba mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.

“Selamat petang warga Threads. Saya nak minta tolong sikit boleh? Jika ada yang datang makan ke mana-mana cawangan Bumbu Babah, waktu bayar itu pastikan anda bayar kepada akaun syarikat ya, bukan akaun peribadi.

“Ada beberapa pelanggan yang mengadu kata kenapa kena bayar ke akaun peribadi. Bila diperiksa, rupanya ada beberapa orang yang tidak jujur, dia buat ‘simpanan hari tua’ guna akaun sendiri. Tidak ramai, tetapi ada,” dedahnya menerusi satu hantaran di laman Threads.

 

View on Threads

 

Dilema Pasang CCTV Demi Jaga Kepercayaan Staf Bumbu Babah

Susulan insiden tersebut, anggota kumpulan Shiro itu mengakui kini berada dalam dilema sama ada mahu memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) ataupun tidak di premis perniagaannya.

Jelas Ajak, sebelum ini beliau memilih untuk tidak menggunakan CCTV kerana mahu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada para pekerja dalam mengendalikan urusan harian restoran. Namun, isu integriti yang berlaku menyebabkan beliau terpaksa memikirkan semula keputusan tersebut.

“Saya tidak nak pasang CCTV sebab nak staf rasa dipercayai. Ke kena pasang CCTV eh?” soalnya kepada pengikut di media sosial bagi mendapatkan pandangan.

Rata-rata netizen dan pelanggan setia Bumbu Babah menasihati beliau agar segera memasang CCTV demi keselamatan perniagaan serta mengelakkan kerugian yang lebih besar pada masa hadapan.