Di sebalik kesibukan kota metropolitan Singapura, terdapat sebuah kisah yang menyentuh hati mengenai seorang pekerja migran yang menemui sinar harapan di negara ini.
Bagi Sugumar Surendran, seorang juruteknik penyaman udara berusia 38 tahun dari Tamil Nadu, India, Singapura bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi sebuah “negara emas” yang menjamin keadilan dan kesaksamaan.
Sebagai tanda penghormatan yang paling peribadi, beliau membuat keputusan berani untuk mencacah tatu wajah bapa pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, pada lehernya menurut laporan AsiaOne.

Kekaguman Surendran berkait rapat dengan perjalanan hidupnya yang penuh dengan kepahitan. Sebelum mengecap kestabilan, beliau hidup dalam kemiskinan dan diuji dengan pelbagai tragedi keluarga.
Beliau kehilangan adik perempuan dan anak saudaranya akibat kanser, manakala isterinya pula mengalami keguguran akibat masalah perkembangan otak bayi.
Meskipun diuji dengan rintangan yang berat, beliau tidak pernah berputus asa dan berjaya membina kerjaya hingga ke peringkat penyelia untuk memberikan kehidupan yang selesa buat keluarganya.
Keputusan untuk mencacah tatu tokoh politik bukanlah sesuatu yang biasa. Artis tatu, Jerome Lee (34), pada awalnya berasa terkejut dan menyuruh Surendran pulang dahulu sebagai “ujian” untuk melihat sama ada dia benar-benar serius.

Namun, Surendran kembali pada keesokan harinya dengan tekad yang bulat. Bagi Surendran, kesakitan fizikal semasa proses mencacah tatu tidak setanding dengan kesusahan yang pernah dilaluinya.
“Mula-mula sakit, sekarang dapat hasilnya (first pain, now gain),” luah Surendran dengan penuh yakin sambil meletakkan tangan di dadanya.
“Anda nampak tatu saya, sekarang anda semua tahu tentang hati saya.”
Menyedari ketulusan hati pelanggannya, Jerome yang pada mulanya ragu-ragu, akhirnya menzahirkan rasa hormat yang mendalam.
“Inilah prinsip yang dipegang oleh lelaki ini, dan saya benar-benar perlu mengetengahkannya serta menghormatinya,” kata Jerome yang menganggap tatu tersebut sebagai simbolik perjalanan hidup Surendran yang bermula dari bawah.
Hubungan emosi Surendran dengan mendiang Lee Kuan Yew begitu utuh sehinggakan beliau berpuasa selama sehari dan tidak lalu makan atau tidur apabila tokoh itu meninggal dunia pada tahun 2015.
Apabila ditanya apakah yang ingin diucapkannya kepada mendiang hari ini, jawapan Surendran begitu ringkas namun sarat dengan penuh rasa kesyukuran
“Pak Cik (Uncle), anda telah membantu menjadikan negara ini sangat baik. Saya datang dari India untuk ke sini. Sekarang keluarga saya dan semua orang gembira.”