Terbaharu, pasaraya Aeon dalam satu perkongsiannya di Linkedin berhubung pekerjanya yang jujur dan berintegrasi telah menjadi bualan ramai.

Menerusi perkongsian tersebut, seorang pekerja pasaraya tersebut iaitu Ram Akawal Mandal telah menemui sebuah beg berisi wang tunai bernilai RM18,000, wang matawang asing dan juga terdapat beberapa dokumen penting lain.

Tindakan Ram yang jujur dengan menyerahkan beg tersebut ke kaunter khidmat pelanggan sehingga pelanggan datang menuntut barang tersebut sungguh menyentuh hati.

Malah, pemilik beg telah memeriksa dan mengesahkan semuanya lengkap seperti ketika sebelum ia hilang. Susulan itu, pasaraya tersebut berasa bangga mempunyai pekerja yang jujur dan amanah seperti Ram.

Perkongsian tersebut juga meraih perhatian orang ramai dan menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap Ram kerana tidak gelap hati apabila melihat sejumlah wang yang banyak.