Ahli astrofizik pertama Malaysia, Tan Sri Dr Mazlan Othman, percaya bahawa kecerdasan buatan (AI) mempunyai potensi untuk menjadikan pelajar sebagai pemikir yang lebih baik, namun beliau menekankan bahawa sekolah perlu mengubah cara mereka menilai pelajar.

Memetik wawancaranya bersama Malay Mail, daripada mengharapkan pelajar menghafal dan mengulang jawapan, beliau mencadangkan agar guru menilai sejauh mana kreativiti pelajar dalam memberi arahan kepada AI.

Baca Juga:

“Kemahiran terletak pada cara mereka bertanya — guru sepatutnya menilai pelajar berdasarkan jenis soalan yang mereka ajukan kepada alat AI,” katanya kepada Malay Mail dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Kita terlalu fokus meminta pelajar mencari penyelesaian kepada persamaan atau masalah yang kita berikan. Pendidikan sepatutnya bertujuan untuk membolehkan pelajar berfikir sendiri,” tambahnya.

Tan Sri Dr Mazlan Othman merupakan ahli astrofizik pertama Malaysia yang telah menerajui penyertaan negara dalam eksplorasi angkasa.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan PhD dalam Astrofizik dari Universiti Otago, New Zealand – menjadikannya wanita pertama menerima doktor falsafah dalam dua abad di sana.

Sumber