Kisah seorang pelajar dari Malaysia yang menuntut di United Kingdom (UK) telah menarik perhatian masyarakat apabila didapati bersalah membunuh bayi perempuan.

Ia turut mendapat liputan daripada media terkemuka UK dan menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya.

Baca Juga:

Jia Xin Teo, 22 tahun dihukum penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.

Mahkamah Mahkota Warwick menjatuhkan hukuman itu selepas disabitkan atas kesalahan membunuh, menurut kemas kini terbaru dalam laman sesawang Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK (CPS).

Menurut laporan BBC, Teo yang sedang belajar di Coventry University didapati menyembunyikan kehamilannya dan bertindak menyembunyikan bayi tersebut dalam sebuah kotak bijirin selepas melahirkan, sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian.

Teo yang tiba di UK pada awal tahun ini didakwa melahirkan bayi itu pada 4 Mac di bilik sewanya di Raglan Street, Coventry.

Sebaik bayi tersebut dilahirkan, Teo meletakkannya ke dalam kotak bijirin yang kemudian dibungkus dalam plastik sebelum diletakkan dalam beg pakaian.

CPS menegaskan bahawa bayi tersebut dilahirkan hidup dan mempunyai peluang untuk hidup, tetapi tindakan Teo meletakkannya di dalam kotak bijirin telah menyebabkan kematiannya.

Teo menafikan membunuh bayinya, sebaliknya mendakwa dia mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh anak itu.

Namun, juri menolak pembelaannya dan mendapati dia bersalah atas pertuduhan membunuh.

James Leslie Francis daripada CPS berkata, “Jia Xin Teo menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan melahirkan bayi itu di sini.

“Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih untuk merahsiakannya, malah sanggup berbohong kepada orang yang rapat dengannya, kepada penyedia penjagaan kesihatan, dan kepada polis.”

Francis menambah: “Bayi Teo masih hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan, namun Jia Xin Teo membuat keputusan untuk meletakkannya di dalam kotak bijirin, dengan mengetahui bahawa tindakan itu akan membunuhnya.”