Baru-baru ini, seorang pelajar yang berasal dari Indonesia mendakwa para pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir sebenarnya tergolong sebagai seseorang yang elit di sana.
Menerusi akaun TikTok Haidir Rasyid, dia berpeluang bertemu pelajar Malaysia dan menemu ramah dalam mengetahui seberapa bagus kehidupan mereka di Mesir.
Menurutnya, apa yang membuatkan pelajar Malaysia boleh dianggap sebagai golongan elit di sana apabila kerajaan secara langsung membantu pelajar dengan menyediakan fasiliti tempat tinggal demi memastikan tahap kehidupan yang berkualiti di sana.
Pertama sekali, apa yang membezakan pelajar Indonesia dengan Malaysia adalah ketersediaan tempat tinggal iaitu asrama yang kondusif oleh kerajaan.
Difahamkan para pelajar Malaysia yang baru tiba akan tinggal bersama dengan yang pelajar senior lain di dalam asrama yang disediakan.
Para pelajar semester pertama juga akan dididik dan diberi orentasi yang dipercayai untuk memastikan boleh beradaptasi dengan budaya setempat serta membina perhubungan antara satu sama lain.
Apa yang menarik perhatian dia adalah setiap bangunan asrama berkenaan merupakan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri masing-masing yang mana tidak berlaku buat pelajar Indonesia di sana.
Dia malah mendedahkan wujud lebih dari satu asrama di sesebuah daerah sekaligus boleh didiami oleh ramai pelajar dari Malaysia.
Sampaikan tahap pada setiap daerah mempunyai bangunan asrama untuk pelajar Malaysia dengan ketinggian lebih 5 ke 6 tingkat bagi setiap daripadanya.
Dengan adanya fasiliti tempat tinggal itu, dia berpendapat para pelajar Malaysia secara tidak langsung mempunyai relatif perbelanjaan yang lebih rendah kerana tidak perlu memikirkan komitmen sewa yang mahal seperti yang dihadapi pelajar dari negara lain.
Paling utama sekali, para pelajar terhindar daripada pelbagai aktiviti jenayah seperti rompakan atau kecurian kerana mempunyai premis asrama yang khas untuk komuniti senegara sahaja.
@haidirrasyidd Part 36|| Kenapa Mahasiswa Malaysia hidupnya elit, ternyata ohh ternyata… #masukberandafyp #fyppppppppppppppppppppppp #mesir #alazharuniversity #op3m #malaysia
Dia menyimpulkan bahawa pihak kerajaan Malaysia yang sangat menitik beratkan kebajikan pelajar yang belajar di luar negara bakal membina satu perhubungan yang rapat antara penuntut dengan badan kerajaan.
Malah, Haidir berpendapat pelajar Malaysia di Mesir mempunyai kehidupan bak individu elit kerana diberikan fasiliti dan perhatian daripada kerajaan. Bagi mereka, ini merupakan sesuatu yang mewah dan tidak semua bernasib baik untuk menikmatinya.
Dengan kehadiran video ini, boleh dikatakan kerajaan Malaysia telah mempamerkan betapa komited mereka dalam memastikan setiap pelajar yang berada di Mesir untuk mempunyai fasiliti asas yang lengkap demi keselesaan sepanjang pengajian di sana.
Menjengah ke ruangan komentar, ramai netizen Malaysia merasa bangga dengan usaha kerajaan bersama kerajaan negeri menyediakan segala keperluan buat para pelajar yang menyambung pengajian di luar negara.
Dalam pada itu, warga Indonesia juga mengakui akan kehebatan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia dan berharap agar pemerintah di negaranya untuk berbuat sedemikian.