Insiden buli yang mengejutkan baru-baru ini telah mencetuskan kemarahan ramai apabila video seorang pelajar sekolah Indonesia yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital setelah dipaksa makan roti yang dipenuhi duri tular di media sosial.
Video yang dikongsi oleh akaun @MALAYSIAVIRALLL menunjukkan pelajar perempuan tersebut diperiksa oleh seorang doktor di Hospital RSUD Dr. Chasbullah Abdulmadjid, Bekasi City.
Menurut laporan daripada @info.negri, kejadian menyayat hati ini melibatkan seorang pelajar yang dibuli oleh rakannya sendiri.
Pelajar malang itu dipaksa untuk makan roti yang telah diisi dengan duri, yang menyebabkan kecederaan pada bahagian dalam mulutnya.
Video yang tular itu pertama kali dikongsi oleh seorang jururawat bernama Elyanda Fitria, yang turut merakamkan proses rawatan pelajar tersebut.
Elyanda menjelaskan bahawa ketika kejadian berlaku, pelajar tersebut dipaksa oleh rakannya untuk makan roti tersebut tanpa sebarang rasa belas kasihan.
Duri yang berada di dalam roti itu tertusuk pada bahagian belakang mulut dan kedudukannya melintang, menyebabkan kesakitan kepada mangsa.
Pasukan perubatan di hospital terpaksa bekerja keras untuk mengeluarkan duri tersebut dengan berhati-hati.
“Saya benci kepada pembuli dan mereka yang membiarkan perkara seperti ini berlaku,” kata Elyanda dalam video yang dimuat naiknya.
Walaupun trauma yang dialami, Elyanda memuji keberanian pelajar itu yang memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses rawatan.
“Pada mulanya, dia tidak berhenti menangis, jelas sekali dia tertekan, tetapi dengan pujukan lembut, kami berjaya menenangkannya dan akhirnya duri itu dikeluarkan dengan cermat,” tambahnya.
Insiden ini mengundang reaksi pelbagai daripada netizen yang mengecam tindakan buli yang semakin menjadi-jadi.
Di ruangan komen, ramai meluahkan rasa marah dan kekecewaan terhadap sikap remaja yang semakin liar.