Cuba melarikan diri ketika diminta berhenti, seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun ditahan polis selepas memandu kereta tanpa lesen dalam kejadian di Jalan Bandar Baru, di sini pada Isnin lalu.

Memetik Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika dua anggota Unit Rondaan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menjalankan tugas rondaan.

Baca Juga:

“Ketika melalui kawasan tersebut, anggota ternampak sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota peronda kemudian menghampiri dan memberi isyarat berhenti untuk membuat pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Remaja terbabit tetap berdegil walaupun diarah berhenti beberapa kali menggunakan pembesar suara.

“Suspek turut memandu secara berbahaya termasuk menghimpit kereta peronda sehingga hampir melanggar kenderaan anggota bertugas.

“Bagi tujuan keselamatan, salah seorang anggota terpaksa mengeluarkan senjata api jenis HK MP5 sebagai amaran keras sebelum suspek akhirnya memperlahankan kenderaan dan berhenti,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan seorang pelajar sekolah, masih di bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu.

“Suspek dipercayai memandu kereta milik abangnya tanpa kebenaran. Pemeriksaan ke atas badan dan kenderaan mendapati tiada barang larangan ditemui.

“Polis kemudian menghubungi keluarganya sebelum bapanya hadir ke lokasi tersebut dan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber