Seorang pelajar tingkatan dua cedera ringan di bahagian kaki selepas terjatuh dari bumbung sekolah tingkat pertama sejurus selepas hisap vape, lapor NSTP.
Insiden ini berlaku sekitar jam 11 pagi dan dipercayai akibat kesan hisap vape yang membuatkan pelajar berkenaan pening dan hilang kawalan.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin, pelajar tersebut mengakui dia telah menghisap vape dalam kelas semasa hujung waktu rehat, mengakibatkan beliau merasa pening
“Dia cuba turun melalui laluan bumbung dari tingkat pertama, tetapi kerana pening, dia akhirnya jatuh ke bawah dan mengalami kecederaan ringan di kaki,” jelas Rose Aza semasa dihubungi hari ini.
Pihak sekolah segera menghubungi polis selepas sahaja kejadian terbabit berlaku.
Polis juga telah membawa pelajar itu ke Klinik Kesihatan Kangar bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Walaupun keputusan ujian dadah pelajar tersebut adalah negatif, pihak sekolah dan polis akan meneruskan siasatan terhadap kes ini.
Pelajar berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan telah dibawa pulang oleh penjaganya.
Menurut sumber yang rapat, pelajar tersebut dikatakan menggunakan vape perisa “mushroom” yang sedang popular di kalangan pelajar-pelajar sekolah.
Rose Aza menjelaskan, pihak jabatan bersama polis dan pihak sekolah kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sumber vape yang diperoleh pelajar terbabit.
Guru disiplin sekolah telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menyiasat rantaian bekalan vape di kalangan pelajar, serta menyerahkan laporan penuh kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
“Jabatan telah mengarahkan guru disiplin sekolah menyiasat dan mengenal pasti pembekal vape yang digunakan pelajar dan membuat tindakan susulan terhadap ujian dadah pelajar berkenaan, seterusnya menyerahkan laporan kepada Unit Hal Ehwal Pelajar, Sektor Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Perlis.
“Kami bekerjasama dengan polis. Kami akan membantu pihak sekolah menyediakan laporan dan mengambil tindakan.
“Pelajar itu akan dibantu sehingga dia pulih sepenuhnya.”
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop turut mengesahkan insiden tersebut dan menyatakan bahawa kes masih dalam siasatan.