Pelakon veteran yang menghiasi slot drama Melayu satu ketika dahulu, Kamal Bakar disahkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 1 pagi Selasa.
Kamal Kabar mulai terlibat dalam industri seni sejak 1970-an lagi. Kamal Bakar banyak menghiasi slot drama tv pada era 90-an.
Dan kini arwah telah pergi selama lamanya. Perkara itu dikongsikan oleh anaknya, yang juga seorang pelakon, Muhammad Hanis Kamaruldzaman.
Hanis mengesahkan kepada Mstar Online bahawa ayahnya meninggal dunia di Hospital Besar Melaka akibat komplikasi kanser paru paru yang dihadapinya.
Hanis menerusi Facebooknya menulis: “Assalamualaikum semua, dimaklumkan bahawa ayah saya Kamaruldzaman bin Bakar (Kamal Bakar) telah meninggal dunia sebentar tadi.
“Mohon jasa baik semua untuk sedekahkan surah AL FATIHAH buat Ayah saya ya.
“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah dahulu. Jam 11.30am jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Baru Melaka, untuk urusan mandi dan kafan.
“Solat jenazah lepas Zohor dan Dikebumikan lepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru Melaka.”
Minggu lalu, Kamal Bakar dilaporkan telah menerima rawatan rapi di hospital. Dia berada dalam keadaan separuh sedar selepas ditidurkan.
Kamal Bakar ketika itu berdepan dengan komplikasi daripada kanser yang dihidapinya dan kekurangan oksigen.
Menurut laporan dari Mstar, pelakon itu disahkan menghidap kanser pada April yang lalu.
Salam takziah daripada sidang editorial Vocket kepada keluarga arwah Kamal Bakar.