Dunia hiburan Hong Kong dan peminat filem kung fu antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian pelakon veteran dan pakar seni bela diri, Bruce Leung Siu-lung.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 14 Januari lalu pada usia 77 tahun,.

Berita kematian ini amat mengejutkan ramai pihak, termasuk rakan-rakan terdekatnya. Ini kerana Bruce Leung dilaporkan berada dalam keadaan sihat ketika kali terakhir ditemui.

Malah, hanya sehari sebelum kematiannya, satu gambar tular menunjukkan beliau sedang menikmati hidangan ‘hotpot’ bersama rakan-rakan di Luohu.

Dalam pertemuan terakhir itu, beliau kelihatan ceria, memberikan isyarat “bagus” (thumbs-up) ke arah kamera, dan menghadiahkan kaligrafi bertulis “True Kung Fu” yang ditandatanganinya sendiri kepada seorang rakan.

Rakan karibnya, pembuat filem Tin Kai-man, menyatakan bahawa beliau belum sempat menghubungi keluarga mendiang dan masih menunggu maklumat rasmi, namun mengakui bahawa Bruce Leung berada dalam keadaan sihat sebelum ini.

Ikon “The Beast” dan “Empat Naga”

Bagi penonton moden, Bruce Leung paling dikenali menerusi watak ikoniknya sebagai penjahat bernama “The Beast” (yang mempunyai gaya seperti katak) dalam filem komedi aksi Stephen Chow, Kung Fu Hustle.

Kemunculan semula beliau dalam filem tersebut mendapat pujian ramai selepas lama menyepi dari industri untuk memberi tumpuan kepada perniagaan.

Namun, sejarah kegemilangannya bermula jauh lebih awal. Pada tahun 1970-an dan 1980-an, beliau merupakan salah seorang bintang aksi yang mewakili zaman keemasan filem seni bela diri Hong Kong.

Beliau digelar sebagai salah seorang daripada “Empat Naga” (The Four Dragons) Hong Kong, sebaris dengan nama-nama besar seperti Bruce Lee, Jackie Chan, dan Ti Lung.

Beliau juga terkenal dengan watak “Chen Zhen” dalam siri TV klasik The Legendary Fok, di mana beliau mempamerkan kemahiran kung fu yang asli.

Penghormatan daripada Jackie Chan

Berita sedih ini turut dirasai oleh rakan seperjuangannya, Jackie Chan. Menerusi laman sosial Weibo, Jackie Chan meluahkan rasa terkejutnya apabila mendengar berita tersebut sebaik sahaja pulang ke Beijing.

Jackie Chan menyifatkan Bruce Leung sebagai seorang “lelaki kung fu sejati” yang mahir dalam seni bela diri tradisional. Beliau menulis, “Beliau adalah pelakon aksi luar biasa yang mempamerkan kepakarannya sepanjang hayat melalui filem dan televisyen, dan beliau adalah seseorang yang dihormati oleh semua orang dalam industri”.

Jackie Chan mengakhiri ucapannya dengan kata-kata puitis: “Pada hari-hari mendung, saya akan mengingati kamu, abang long”.

Upacara Pengebumian

Keluarga mendiang memohon agar privasi mereka dihormati pada waktu sukar ini dan sedang menguruskan pengebumian secara tertutup. Upacara penghormatan terakhir dijadualkan berlangsung pada 26 Januari di daerah Longgang, Shenzhen, China,.