Siapa sahaja yang tidak suka membeli-belah, bukan? Lebih-lebih lagi dengan adanya platform dalam talian seperti Taobao yang menawarkan pelbagai barangan menarik pada harga yang berbaloi. Memang rambang mata dibuatnya.
Namun, kadang-kala tabiat *shopping* kita ini boleh mengundang padah jika tidak kena pada tempatnya. Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai gelagat segelintir pelancong dari negara kita.
Sebuah kumpulan pelancong Malaysia yang sedang bercuti di Xi’an, China, telah menerima kecaman hebat selepas mereka dilaporkan menempah sekitar 1,200 bungkusan melalui Taobao dan meminta kesemua barangan tersebut dihantar terus ke hotel penginapan mereka.

Insiden ini mula tular apabila salah seorang ahli rombongan tersebut, Elva, memuat naik pengembaraan membeli-belah mereka di aplikasi Xiaohongshu pada 27 April yang lalu.
Agensi pelancongan yang menguruskan mereka juga ada memuat naik video dengan kapsyen berseloroh bertanyakan sama ada pelancong Malaysia hanya tahu membeli-belah apabila ke China.
Bayangkan keadaan lobi dan kaunter penerimaan tetamu hotel yang dipenuhi dan bersepah dengan timbunan bungkusan. Kakitangan hotel dilihat terpaksa bergegas ke sana ke mari untuk menyusun dan memadankan setiap bungkusan dengan senarai nama tetamu yang menginap di situ.
Lebih mengejutkan, ada satu paparan video yang menunjukkan seorang wanita terpaksa menggunakan beg plastik bersaiz ekstra besar semata-mata untuk menarik 50 bungkusan barangan yang dibelinya kembali ke bilik hotel.
Walaupun ramai pengguna Malaysia di Xiaohongshu sering berkongsi tip kemudahan menghantar barangan terus ke hotel, tindakan kumpulan ini ternyata mengundang rasa kurang senang.
Ramai netizen, terutamanya dari China, menyelar tindakan ini kerana dianggap sangat tidak bertimbang rasa terhadap pekerja hotel.
Di ruangan komen, pelbagai reaksi dan “dialog” amarah telah disuarakan oleh warganet.
“Pekerja hotel terpaksa bekerja lebih masa untuk menyusun dan mengangkut bungkusan-bungkusan ini sehingga kepenatan. Pekerja hotel bukanlah pengurus bungkusan peribadi anda!” tegur seorang netizen dengan tegas.
Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya, “Kalau setakat beberapa bungkusan masih boleh diterima, tapi ini sudah melampau! Pekerja hotel seolah-olah diberikan kerja sambilan tanpa gaji tanpa sebab. Kalau perkara ini berlaku di luar negara, sudah lama mereka dikritik kerana tiada adab.”.
Ada juga yang menitipkan harapan sinis berbunyi, “1,200 bungkusan itu memang gila. Saya cuma harap mereka berikan tip, kerana ini sudah melangkaui skop servis yang disediakan oleh pihak hotel.”.
@asiaone Staff at the hotel in Xi’an had to scramble to clear the parcels from the lobby. #MalaysiaNews #Malaysia #China #Tourists #Behaviour
Menyedari kekecohan yang berlaku, video asal yang dimuat naik oleh agensi pelancongan itu akhirnya telah dipadamkan. Di pihak Elva pula, dia ada memohon maaf atas bebanan kerja tambahan yang dialami oleh staf hotel dan turut memuji tahap kesabaran mereka dalam menguruskan bungkusan-bungkusan tersebut.
Jadi, apa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini? Membeli-belah ketika bercuti memang seronok dan tidak salah untuk memanfaatkan kemudahan penghantaran ke hotel.
Tetapi, biarlah berpada-pada. Jadilah pelancong yang bijak dan bertimbang rasa agar tidak menyusahkan pihak lain, dan yang paling penting, sentiasa menjaga nama baik negara kita di tempat orang!