Seperti kita sedia maklum, pasar raya dan majoriti outlet dan kedai makan adalah kawasan no pets allowed (binatang peliharaan tidak dibenarkan) kecuali dibenarkan oleh pemilik premis.

Tular sebuah video di X tentang seorang pelanggan wanita yang dilihat tidak berpuas hati kerana dia tidak dibenarkan membawa masuk anjing peliharaannya bersama.

Kejadian tersebut yang berlaku di salah sebuah cawangan Machines mengundang komen pelbagai daripada netizen antaranya ada yang memuji cara staf Machines tersebut yang tenang dan sabar melayan karenah pelanggan wanita berkenaan.

Majoriti netizen berkata sekiranya pelanggan tersebut warganegara Malaysia, dia sepatutnya tahu majoriti pasar raya tidak membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk bersama kerana atas faktor keselamatan dan kebersihan.

“Buatnya anjing tu kencing atas alatan elektronik, confirm owner akan berlepas tangan tak nak tanggungjawab. Sebab itu polisi macam ini dicipta,” tulis seorang pengguna X.

Seorang netizen turut berkongsi lokasi sebuah pasar raya yang membenarkan haiwan peliharaan dibawa ke pasar raya tetapi di sesetengah kawasan sahaja.

Pemilik haiwan peliharaan juga perlu lebih cakna tentang undang-undang ini supaya tidak berdepan kesukaran berurusan di mana-mana kedai atau butik di dalam pasar raya.