Baru-baru ini tular satu hantaran video daripada satu akaun TikTok yang mengadu pihaknya telah dihalau keluar dan tidak dapat refund daripada pihak TGV Manjung semasa kumpulannya mahu menonton filem terbaharu bualan ramai, Blood Brothers: Bara Naga.
Bagaimanapun video dan akaun TikTok tersebut telahpun dipadam oleh individu berkenaan selepas pihak TGV Manjung mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
Baca Juga:
- Blood Brothers Kutip RM9.2 Juta Dalam 2 Hari Tayangan & Tayangan Awal
- TGV Cinemas Kenalkan Kempen #KitaSemuaVIP, Tawarkan Tiket Percuma Buat Semua ‘Pelanggan VIP’
- Dikecam ‘Restart’ Tayangan Batman Selepas 45 Minit, Ini Kenyataan Rasmi TGV Cinemas
Menurut TGV Manjung, situasi berlaku apabila kumpulan pelanggan terbabit tiba 20 minit lewat untuk menonton filem tersebut.
Kemudian mereka masuk ke dewan lain, serta tempat duduk pelanggan lain supaya tidak terlepas babak awal filem berkenaan.
Pihak TGV telah meminta mereka untuk pulang ke dewan dan tempat duduk asal mereka.
Bagaimanapun oleh kerana tidak berpuas hati terlepas sebahagian babak filem berkenaan, mereka meminta refund.

“Sehubungan itu kami ingin mengingatkan para pelanggan sila duduk di tempat duduk yang telah anda beli bagi mengelakkan kesulitan pada diri sendiri dan pelanggan lain.
“Sekiranya terdapat individu lain yang berada di tempat duduk anda, sila maklumkan kepada pihak kami dan kami akan membantu menyelesaikan situasi tersebut,” kata TGV.
Pada masa sama TGV menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memproses sebarang bayaran balik balik sekiranya anda lewat menonton filem.
TGV juga turut komited untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua.
Terdahulu, filem arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra telah meraih kutipan sebanyak RM9.2 juta dalam tempoh dua hari tayangan rasmi dan tayangan awal, bermula pada 8 April lalu.
Difahamkan filem aksi itu menjadi antara filem tempatan dengan capaian tayangan paling meluas setakat ini, dengan tayangan di 170 buah pawagam.
Antara negeri yang mencatat jumlah tontonan tertinggi ialah Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu.