Penduduk di Yogyakarta, Indonesia, terkejut apabila mendapat tahu gerai bakso yang sering mereka kunjungi sejak sedekad lalu ternyata sebenarnya tidak halal.
Insiden ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk kerana peniaga terbabit didapati telah beroperasi selama sembilan (9) tahun tanpa sebarang indikasi bahawa bakso yang dijual adalah tidak Halal dan tidak sesuai untuk Muslim lapor CNNIndonesia.

Menyedari isu sensitif ini, Dewan Masjid Indonesia (DMI) mengambil tindakan segera. Setiausaha DMI, Ahmad Bukhori, menjelaskan bahawa organisasinya bertanggungjawab memasang sepanduk amaran di gerai tersebut.
Langkah ini diambil sebagai tanda keprihatinan bagi memastikan umat Islam di Yogyakarta tidak tersilap membeli dan mengambil makanan yang tidak halal.
Isu kontroversi ini sebenarnya mula dibangkitkan sejak Disember 2024. Menurut kenyataan DMI, perbincangan awal mengenai gerai tersebut bermula dalam mesyuarat mereka setelah timbul kebimbangan yang mendalam dalam kalangan penduduk.
“Kami mula membincangkan perkara ini dalam mesyuarat DMI sekitar Disember 2024. Pada masa itu, timbul kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai kewujudan penjual bakso tidak Halal yang sengaja tidak memaklumkan status produk mereka,” jelas wakil DMI.
Pendedahan yang lebih mengejutkan adalah operasi gerai ini bukanlah baharu. Penjual itu didapati telah menjual bakso babi sejak era 1990-an, walaupun baru berpindah ke lokasi Yogyakarta sekarang pada tahun 2016.
Lebih membimbangkan, sepanjang tempoh perniagaan yang panjang itu, peniaga tersebut tidak pernah memaparkan sebarang tanda atau notis yang jelas bagi memaklumkan bahawa makanan yang dijual adalah tidak Halal. Situasi ini menimbulkan rasa tertipu yang besar dalam kalangan penduduk Muslim yang menjadi pelanggan setia mereka selama ini.
Ahmad Bukhori menambah, sebahagian besar pelanggan yang berkunjung ke gerai itu adalah umat Islam, malah ada di antara mereka merupakan wanita yang bertudung yang sama sekali tidak menyedari jenis bebola daging (bakso) yang mereka makan.
“Ramai pelanggan yang datang adalah Muslim, dan mereka tidak tahu sifat bakso itu,” katanya.
Menurut Ahmad lagi, terdapat sebilangan penduduk setempat yang sebenarnya mengetahui bahawa bakso tersebut mengandungi daging babi, namun mereka tidak berani untuk memaklumkan kepada pelanggan Muslim yang lain kerana khuatir akan berlakunya pertelingkahan.
Berikutan aduan dan kebimbangan yang memuncak dalam kalangan penduduk, Dewan Masjid Indonesia (DMI) mengambil tindakan serta-merta pada awal tahun ini.
DMI segera menghubungi pelbagai pihak berkuasa termasuk ketua kampung, wakil penduduk, dan pemilik gerai bakso tersebut.
Tindakan ini bertujuan untuk memastikan bahawa status sebenar makanan yang dijual itu dijelaskan secara terbuka kepada masyarakat umum, sekaligus menamatkan penipuan selama hampir sedekad.