Chef selebriti, Nusret Gökçe atau lebih dikenali sebagai Salt Bae telah membuka cawangan terbaru restoran mewah miliknya, Nusr-Et Steakhouse di kota London bulan lalu.
Seperti biasa, restoran tersebut dikunjungi oleh ramai selebriti dan penduduk kota London yang mahu mencuba menu khas yang ditawarkan di sini antaranya daging steak bersalut emas.
Namun tular di laman Reddit apabila seorang ahli berkongsikan resit makanan yang perlu dibayar oleh seorang pelanggan di situ. Berdasarkan resit itu, pelanggan terbabit perlu membayar 37,023 GBP (~RM210,000) selepas makan di restoran berkenaan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada penduduk London. Ada yang mendakwa harga makanan di restoran berkenaan mahal dan ada yang kata ia sebenarnya ‘harga yang berpatutan’.
Jika dilihat pada resit berkenaan, sekitar 20,000 GBP (~RM113,000) dibelanjakan untuk minuman arak dan selebihnya untuk makanan. Jika pelanggan ini tidak memesan arak, harga makanan yang perlu dibayar adalah sekitar 1,560 GBP sahaja sebelum cukai perkhidmatan.
Namun, harga hidangan side dishes pastri Baklava di sini memang sangat mahal dan jumlah Baklava yang diambil oleh pelanggan ini juga banyak. Menu signature Nusr-Et, Golden Tomahawk dijual pada harga 860 GBP, harga yang ‘munasabah’ bagi sebuah restoran mewah di London.
Ada juga yang berpendapat pelanggan itu tiada masalah untuk membayar dan sengaja menunjuk-nunjuk resit berkenaan di media sosial. Secara tidak langsung, ia memberi publisiti kepada restoran Nust-Et yang baru dibuka.
United Kingdom merupakan antara negara yang sudah menerima kemasukan pelancong dari Malaysia tanpa perlu kuarantin. Jadi, jika anda duit poket lebih, mungkin boleh singgah dan makan steak di sini.
Sebelum ini, Salt Bae pernah disaman kerana menggunakan karya seni tanpa kebenaran. Baca lagi pada pautan di bawah.
Guna Karya Seni Tanpa Izin Pelukis, Salt Bae Disaman RM20 Juta
Kenali Nusret Gökçe, Lelaki Kacak Di Sebalik Taburan Garam Penuh Bergaya Ini