Pemimpin komuniti pelarian Myanmar meletakkan harapan tinggi terhadap Malaysia agar dapat membantu meleraikan krisis kemanusiaan tidak berkesudahan di negara mereka.

Memetik Harian Metro, komuniti tersebut bergantung harap pada Malaysia kerana negara ini merupakan Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Baca Juga:

Sehubungan itu Malaysia mempunyai ‘platform keemasan’ untuk memberikan tekanan kepada junta tentera Myanmar agar menghentikan kekejaman dan mencari jalan penyelesaian damai.
“Junta tidak peduli dengan tekanan Asean sebelum ini. Tetapi di bawah kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi, kami nampak ada pergerakan dan harapan baru.

“Kami harap Malaysia dapat menggunakan masa yang ada untuk meletakkan asas dasar yang kukuh bagi penyelesaian isu ini,” kata Pengerusi Alliance of Chin Refugees (ACR), James Bawi Thang Bik.

Tambahnya lagi, matlamat utama mereka sebagai pelarian di negara ini bukanlah untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Kami tidak pernah meminta kerakyatan atau hak kewarganegaraan. Kami hanya mahu status kami sebagai pelarian diiktiraf dan dilindungi sementara berada di sini.

“Kami semua mahu pulang ke tanah air. Sebab itulah kami merayu Malaysia, sebagai Pengerusi Asean, untuk bantu wujudkan keamanan di negara kami supaya kami boleh kembali,” katanya.

Lebih baik ditahan di Malaysia, daripada maut di negara sendiri

“Pilihan yang ada adalah antara risiko atau maut. Hidup di Myanmar, kami tidak tahu bila kami akan mati. Ada ahli keluarga sedang makan malam, tiba-tiba sebutir peluru menembusi dinding dan membunuh si ayah. Itu realitinya.

“Melarikan diri ke sini mungkin berisiko, tetapi pulang ke Myanmar sekarang adalah ibarat menempah maut,” kata James.

Perkara itu turut diakui oleh Ketua Komuniti Rohingya di Selayang, Rafik Ismail.

“Biar ditahan di sini, sekurang-kurangnya masih ada harapan untuk hidup. Kalau dihantar pulang, peluang untuk hidup itu mungkin hanya 20 hingga 30 peratus saja.

“Punca krisis ini adalah junta tentera yang mahukan kuasa. Mereka mengancam semua etnik dan agama, termasuk penganut Buddha sendiri. Sebab itu semua orang melarikan diri,” katanya.

Sumber