Semalam, pasti anda berdepan sejumlah perkhidmatan termasuk laman web, media sosial dan aplikasi berasaskan Cloudflare tidak boleh diakses untuk tempoh yang lama.
Rupanya hal ini terjadi bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia yang mana telah menjadi tajuk perbincangan hangat di kalangan netizen global.
Memetik laporan terkini, Syarikat itu memaklumkan gangguan yang bermula sekitar 6.30 pagi ET disebabkan oleh fail konfigurasi yang dijana secara automatik, direka untuk menguruskan potensi ancaman keselamatan.
Fail itu menjadi terlalu besar dan menyebabkan sistem perisian yang mengendalikan trafik untuk beberapa perkhidmatan Cloudflare tergendala, kata syarikat itu, yang rangkaiannya mengendalikan sekitar seperlima daripada trafik web.
Syarikat itu telah mula menyiasat dan telah melakukan pembaikan tetapi sesetengah pelanggan mungkin masih terjejas sepanjang pemulihan perkhidmatan secara global. Akibat dari insiden terbabit, sahamnya turun 2.3% dalam dagangan pagi tadi.
Cloudflare menambah lagi bahawa tiada “bukti bahawa ini adalah hasil serangan atau disebabkan oleh aktiviti berniat jahat”. Ia mengendalikan salah satu rangkaian terbesar di dunia yang membantu laman web dan aplikasi memuatkan lebih pantas serta kekal dalam talian dengan melindungi mereka daripada lonjakan trafik dan serangan siber.
Syarikat X dan OpenAI (pencipta ChatGPT) tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen. Laporan mengenai isu dengan Cloudflare telah menurun kepada kira-kira 2,800 pada 10.20 pagi ET berbanding kemuncak lebih 11,000, seperti yang ditunjukkan oleh alat pengesan gangguan.
Downdetector mengesan gangguan melalui laporan pengguna, jadi bilangan sebenar pengguna yang terjejas mungkin berbeza.
“Kami melihat peningkatan mendadak dalam trafik luar biasa ke salah satu perkhidmatan Cloudflare bermula jam 11.20 UTC. Ini menyebabkan beberapa trafik yang melalui rangkaian Cloudflare mengalami ralat,” kata syarikat itu pada awal hari.