Penghujung Jun 2026 bakal menyaksikan berakhirnya kontrak beberapa pemain bola sepak terkenal dunia seperti Ibrahima Konate, Antonio Rudiger, Serge Gnabry dan ramai lagi.

Keadaan yang menjadikan ‘golongan’ ini sebagai sasaran utama untuk perpindahan atau memeterai kontrak lanjutan bersama kelab masing-masing.

Dalam keadaan ini, seperti termaktub dalam ‘Bosman Ruling’, pemain boleh menggunakan kuasa mereka untuk berurusan dengan mana-mana kelab pada 6 bulan terakhir kontrak mereka.

Sehubungan dengan itu, Rudiger yang dikatakan masih berminat untuk terus bersama Real Madrid berada dalam radar Chelsea dalam usaha meningkatkan kekuatan di jentera pertahanan.

Selain nama-nama yang disebutkan di atas, terdapat beberapa pemain lagi dimana kontrak mereka hanya berbaki enam bulan sahaja lagi.

1) Bernardo Silva

Pada usia 31 tahun, pemain tengah Manchester City yang sebelum ini menjadi pilihan Pep Guardiola sudah tidak lagi menikmati keadaan seperti itu.

Malah pengaruhnya dalam satu-satu perlawanan juga sudah tidak begitu dominan dan berkemungkinan beliau terpaksa memilih untuk meninggalkan The Cityzens.

2) Marc Guehi

Ketua pasukan Crystal Palace yang hampir menyertai Liverpool pada jendela perpindahan musim panas lalu berkemungkinan besar akan mengangkat kaki untuk merasai angin baharu bersama kelab besar.

Liverpool dikatakan masih berminat untuk mendapatkan khidmat Guehi. Selain itu, Bayern Munich juga tidak ketinggalan dalam menunjukkan minat.

3) Ruben Neves

Selepas dua musim berkelana ke Arab Saudi untuk bersama Al-Hilal, Neves dilaporkan sudah menolak tawaran lanjutan dan berkemungkinan akan kembali ke Eropah.

Beliau rela untuk menerima pemotongan gaji untuk kembali bersama kelab Eropah dengan Manchester United dan Porto dikaitkan dengannya.

4) Mike Maignan

Hampir menyertai Chelsea pada jendela perpindahan musim panas lalu, Maignan yang merupakan penjaga gol utama AC Milan masih belum menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab Serie A itu.

Beliau dikatakan tidak berminat untuk terus kekal di Milan dan Chelsea mungkin akan sekali lagi cuba mengintai peluang.

5) John Stones

Pemain pertahanan Manchester City ini sering diketepikan ekoran kecederaan yang dialaminya.

Keadaan itu menyebabkan masih tiada lagi rundingan dibuat pengurusan kelab untuk mengekalkannya dalam pasukan.

6) Leon Goretzka

Pemain tengah berpengalaman Bayern Munich itu masih mampu menjadi sandaran utama Vincent Kompany pada usia 30 tahun.

Namun, kelab gergasi Jerman itu tidak mahu menawarkan kontrak lanjutan dan lebih memilih untuk mencari pengganti.

7) Dayot Upamecano

Pertahanan kelahiran Perancis ini membentuk gandingan mantap bersama Jonathan Tah. Walaupun Real Madrid berminat untuk membawanya ke Bernabeu, Kompany seperti tidak akan melepaskan pemain tonggaknya itu pergi pada Jun nanti.